Waktu
berlalu dengan pantas, menampakkan wajah kenangan pada sisi-sisi waktu yang
terkadang melekakan perasaan. Hati yang merasa seakan di himpit pilu pada
cerita yang tidak pernah terpadam di buku perasaan. Walau hanya sekadar sebuah
cerita, tetapi pada dunia yang nyata ia bagaikan duri pada diri. Menusuk pada
jiwa. Rasa yang ditatang, walaupun tidak mempunyai sebarang kemanisan, tetap
dijunjung seru pada jiwa yang terdalam. Hanya selapis cinta sudah cukup
membuatkan hati seorang gadis teguh berpegang pada janji lama yang tidak pernah
terpadam. Namun pelik. Cinta yang dimaksudkan bukanlah perasaan kasih yang
membawa kepada mabuk rindu atau deraan jiwa yang mengakibatkan penyakit angau,
tetapi cinta yang dimaksudkan terlalu sukar ditafsir sehingga perasaan itu
terbiar sepi di pesisir hati. Oh hati...
Safiah membuang keluhan yang maha berat.
Sekian waktu yang berlalu sentiasa memberi laluan pada dirinya untuk mengulang
tayang sandiwara indah yang pernah bermain mesra dalam hidupnya. Sehinggakan
dirinya merasakan ada rindu yang tertanam pada lubuk hatinya yang terdalam.
Tafsiran rindu itu pastinya bukan atas desakan cinta, kerana cinta tidak pernah
wujud sama sekali. Tetapi mengapa hati ini sentiasa merindu? Detik hati kecil
Safiah. Makin difikirkan, makin hati ini bertambah gelisah. Umpama fenomena
puting beliung yang memutarkan arus perasaannya. Begitulah keadaannya.
Angin
pagi bertiup lembut. Dingin dan menyegarkan. Haruman rumput yang baru dipotong
menusuk tajam ke hidung. Safiah memandang keluar kelas. Anak matanya mendarat
pada suatu kawasan lapang di hujung tempat parkir kereta. Terang pandangan
matanya. Sebelum ini, kawasan itu dipenuhi dengan semak samun. Sungguh
mencacatkan pandangan. Tetapi semalam tukang kebun menjalankan operasinya.
Habis rumput-rumput yang tinggi lampai itu tunduk kelantai bumi. Dengar khabar,
kawasan itu nanti akan diusahakan menjadi tapak rumah hijau. Suatu usaha yang
murni. Mudah-mudahan usaha guru-guru sains yang terlibat akan berjaya. Biar
pelajar dapat berlajar bercucuk tanam. Kenal apa itu tanah dan sebagainya.
“Cikgu!”
Safiah
menoleh kearah suara yang memangil. Jiwanya bergetar lagi. Getaran itu membawa
kepada tindakan yang kelam kabut. Huh! Tak senonohnya aku ni!
“Emm...
Iya Firdaus, aaaa... ada masalah ke?” Soal Safiah gugup. Firdaus berdiri ditepi
mejanya. Bibirnya mengumtum sebuah senyuman manis. Safiah jadi tidak senang
duduk tatkala matanya memandang wajah anak kecil itu. Dan senyuman itu
melemahkan segala sendi-sendinya. Pelbagai jenis rasa yang datang. Semuanya
teradun bersama. Oleh sebab itulah Safiah jadi tidak tentu arah.
“Saya
tak boleh buat soalan no 6 ni Cikgu, susah,” ujar anak kecil yang bernama
Firdaus itu. Matanya terkelip-kelip apabila Safiah diam tanpa berkata apa-apa.
Seperti disihir. Lima saat berlalu. Safiah tetap tidak berkelip memandang wajah
Firdaus. Sahlah Safiah kena sihir. Tetapi bukan kerana mentera sihir tetapi
kerana Firdaus. Ya, Firdaus.
“Cikgu
tak apa-apa ke?” soal Firdaus berbaur hairan.
“Emmm..
tak ada apa-apa, soalan no 6 ya?” Safiah malu sendiri. Wajah malu sedaya upaya
di neutralkan dengan senyuman. Entah ikhlas entah tidak. Safiah saja yang tahu.
Firdaus
mengangguk. Buku latihannya diletakkan di atas meja sambil tangan kanannya
memegang erat batang pensel. Matanya seperti biasa. Terkelip-kelip. Sesekali
anak kecil itu mengosok-gosok matanya dengan hujung jari. Selalunya, Safiah
pasti akan menegur kerana dia tidak suka pelajarnya mengosok mata mengunakan
jari. Tetapi mulutnya menjadi bisu. Segala kata-kata menjadi beku.
Safiah
menarik nafas dalam-dalam. Soal hati harus... eh bukan, wajib diketepikan
dahulu. Tanggungjawab harus diutamakan.
“Pertama,
jangan kamu gosok mata kamu mengunakan jari Firdaus, sebab jari kita banyak
kuman. Bila kita gosok mata mengunakan jari, maka kuman-kuman tersebut akan
berpindah kepada mata kita.” Ujar Safiah lembut. Mata Firdaus terkelip-kelip
lagi. Sejurus itu, Firdaus mengangguk faham.
“Papa
selalu cakap macam tu,” Firdaus menjawab mesra. Senyuman manis terukir di bibir
mugil milik Firdaus menampakkan segumpal tisu pipi yang pasti membuatkan hati
bagai digaru untuk mencubit kedua-dua belah pipi yang tembam milik Firdaus.
Anak kecil yang comel serta petah berkata-kata. Dalam diam Safiah merenung
dalam anak mata bundar Firdaus. Terdetik rasa pilu yang menggunung. Entah
mengapa perasaan itu datang bagaikan hujan rintis yang pastinya menbasahi
lantai hatinya. Wajah Firdaus saling tak tumpah dengan wajah pemuda itu. Mereka
seperti dua insan yang sama.
Firdaus
Bin Iskandar....
Anak
kecil ini anak Iskandar? Hati kecil Safiah menduga. Senyuman dibibir terasa
hambar. Safiah mengambil buku latihan dari tangan Firdaus.
“Kat
sekolah lama, Firdaus belum belajar bab ni ek?” soal Safiah dengan mesra.
Firdaus menggeleng perlahan. Bibir Safiah muncung kedepan. Fahamlah dia kini,
mengapa Firdaus sukar menyelesaikan latihan matematik yang diberikan. Apatah
lagi Firdaus baru mendaftar kesekolah ini dan kemungkinan bab yang diajarnya
belum lagi diajar di sekolah lama Firdaus. Kemungkinan besar begitu.
“Firdaus
duduk dulu, nanti cikgu ke meja Firdaus ya,” tambah Safiah lagi. Firdaus
berlalu dengan senyuman. Anak kecil itu murah dengan senyuman. Puji Safiah
dalam diam. Wajah sekelian pelajar yang sedang khusyuk membuat latihan membuatkan
hati Safiah berbunga-bunga. Ketekunan yang ditunjukkan oleh pelajarnya
membuatkan Safiah semakin bersemangat. Mengerakkan lagi nadinya untuk terus
mendidik anak bangsa. Sekalipun azamnya ringkas namun menuntut tanggungjawab
yang besar untuk ditunaikan.
Loceng
berdering secara tiba-tiba. Pandangan Safiah terarah kepada wajah Firdaus yang
agak muram ketika loceng berbunyi. Hampa benar Firdaus. Safiah tersenyum dalam
hati. Bangga dengan kesungguhan Firdaus. Itulah yang dia mahu.
“Terima
kasih Cikgu.” Catuan suara itu mewujudkan satu frekuensi bunyi yang agak
tinggi. Apatah lagi dari semua sudut mewujudkan frekuensi bunyi yang sama dan
bunyi itu seakan-akan sedang beradu tenaga untuk menunjukkan kehebatan
masing-masing. Fenomena normal itu kadang-kadang memberikan ganguan kepada
kelas-kelas yang sedang berlangsung. Namun, kebanyakkan guru sudah lali
mendengar bunyi bising tersebut. Itulah kemeriahan yang amat jarang sekali
diperolehi dimana-mana tempat.
Safiah
menyusun buku satu persatu. Janjinya pada Firdaus membuatkan kakinya menyusun
langkah ke meja Firdaus.
“Firdaus
jangan susah hati, nanti waktu rehat Firdaus jumpa cikgu kat bilik guru.” Ujar
Safiah sebaik sahaja dia menghampiri meja Firdaus. Mata anak kecil itu
terkelip-kelip, seperti dia sedang terfikirkan sesuatu.
“Emm...
Meja Cikgu kat tepi pintu masuk, Cikgu tunggu tau.”
Firdaus
tersenyum. “Cikgu ni tahu-tahu aje apa yang saya fikirkan.”
Senyuman
Safiah melebar. Hatinya berbunga-bunga. Jiwanya begitu tenang menyambut
senyuman Firdaus. Atau mungkin kerana wajah disebalik senyuman itu yang
membuatkan hatinya tidak keruan? Safiah jadi keliru, namun yang berada di depan
matanya adalah seorang anak kecil yang bernama Firdaus. Wajah itu benar-benar
mirip lelaki itu....
Huh!
Tak habis-habis!
# # # # # # # #
Sudah dua hari Firdaus tidak hadir
kesekolah. Selama dua hari jugalah hati Safiah bagai digaru-garu. Resah tidak
menentu. Apa sahaja yang dilakukannya serba tak kena. Entah sejak bila Safiah
merasakan kehadiran Firdaus dalam hidupnya begitu bererti sekali. Dan
kehilangan Firdaus sekaligus meragut segala ketenangan yang ada dalam dirinya.
Dengan perasaan yang tidak menentu Safiah melangkah keluar dari kelas 3
Sentosa. Perasaannya jadi hampa apabila wajah anak kecil yang sering membuatkan
hatinya berbunga-bunga tiba-tiba hilang dari pandangan mata Safiah.
Pandangan
mata Safiah terjurus kepada satu arah. Tepat ke arah tempat parkir kereta.
Langkah Safiah terhenti. Denyut jantungnya bertambah dari kadar biasa.
Kedinginan mula terasa dihujung jari. Buat seketika Safiah hilang dari dunia nyata.
Perasaannya melayang bagai ditiup angin. Persis dedaunan kering yang gugur
menyembah kelantai bumi. Pelik. Sungguh Safiah tidak mengerti akan perasaan
yang menyelit ke relung hatinya. Perasaan itu amat aneh sekali. Dengan hanya
tiga langkah, Safiah menyembunyikan dirinya disebalik tiang yang cukup
membuatkan dirinya terlindung daripada pandangan lelaki itu. Sepatutnya dia
harus pergi kepada lelaki tersebut dan menyapa lelaki itu dengan mesra tanpa
berasa takut dan malu. Namun sudahnya, Safiah membiarkan anak matanya sahaja
yang mengekori lelaki tersebut. Sedangkan dirinya terus membatu disebalik tiang
yang secara tidak rasminya menjadi tembok pendinding diri.
“Eh
kau buat apa kat sini?” sergah satu suara yang lembut namun cukup membuatkan
Safiah terperanjat. Dengan wajah yang berbaur, Safiah cuba tersenyum. Biarpun
kelat namun cukup bagi menutup kecelaruan wajahnya.
“Emm,
tak ada apa-apalah Mila,” jawab Safiah ringkas. Hanya sebaris ayat itu sahaja
yang mampu difikirkan pada waktu itu. Mana lain hilang entah kemana. Secara
umumnya, Safiah memang tidak pandai berbohong. Andai kata terpaksa, hanya
dialog itu sahaja yang mampu terucap.
“Yang
kau terhendap-hendap dari tadi tu kenapa pulak?” soal Karmila lagi. Jelas
sungguh dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Safiah.
“Tak
ada apa-apalah Mila, aku ada kelas ni, lagipun aku dah lambat ni. Aku pergi
dulu.” Ujar Safiah laju. Dengan sepantas angin, Safiah berlalu meningalkan
Karmila yang masih termanggu-manggu sendiri.
“Dia
ni memang misteri.” Karmila mengomel sendiri. Dengan anak matanya sendiri, dia
melihat Safiah terhendap-hendap disebalik tiang. Sepertinya pandangan Safiah
menghala ke arah tempat parkir kereta. Pasti ada sesuatu yang menarik pandangan
Safiah. Pasti ada. Tetapi siapa? Karmila tersenyum sendiri. Senyuman yang pasti
ada makna.
Loceng
waktu rehat berdering kencang. Dengan suasana yang tidak pernah berubah,
pelajar bergegas menuju ke satu destinasi. Cepat dan pantas. Masa itu tisu kata
ahli saintis. Perut yang berkeroncong harus diisi. Selepas di isi, rutin biasa
diteruskan. Main sepuas hati. Biarlah peluh terus menitis membasahi baju namun kegirangan
yang meluap-luap membuatkan mereka terlupa akan keadaan diri.
Disuatu
sudut di bilik guru, Safiah mematikan diri dengan memeriksa buku-buku pelajar. Dalam
fikirannya tiada yang lain melainkan tertumpu pada paksi hatinya yang penuh
dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab. Berkali-kali anak matanya
melirik kepada meja Cikgu Syakila. Pasti wanita itu mempunyai keseluruhan
jawapan pada setiap pertanyaan yang semakin mengunung di benak Safiah. Daripada
dia terus berteka teki seorang diri, ada baiknya dia terus bertanya kepada guru
muda itu. Suatu keputusan yang dianggap paling bijak oleh Safiah.
Safiah
terus melangkah dengan yakin. Hala tuju matanya terus ke arah Cikgu Syakila.
“Assalamualikum
Cikgu Syakila,” sapa Safiah sopan.
“Wa’alaikumsalam,”
guru muda itu menjawab salam Safiah dengan mesra. Hati Safiah seperti dijirus
dengan air sejuk. Barangkali sesejuk air di pengunungan Himalaya. Begitulah
firasat Safiah, berusaha memujuk hatinya sendiri.
“Cikgu
pasti tahu mengapa Firdaus tidak hadir ke sekolah beberapa hari ni bukan?” soal
Safiah tanpa berlengah. Sudah tidak terfikir oleh Safiah untuk berbicara soal
lain kerana dalam hatinya pada ketika itu hanya ada satu nama. Firdaus. Apatah
lagi, perasaan ingin tahu semakin
mengunung apabila sah-sah Firdaus adalah anak kepada Iskandar. Safiah yakin
akan kenyataan itu. Benar perkara itu belum disahkan tapi Safiah yakin.
Kedatangan Iskandar kesekolah ini pasti kerana Firdaus!
Safiah
terus menanti dalam sabar. Agak lama Cikgu Syakila terdiam. Sukar benar untuk
menjawab soalan itu. Katakan sahaja. Tidak perlu berfikir panjang. Namun Safiah
terus menanti dengan sabar. Sabar-sabar.
“Cikgu
tanya pasal Firdaus bin Iskandar?” soal Cikgu Syakila sambil memandang Safiah.
Safiah mengangguk. Kening Cikgu Syakila berkerut. Lantas tangannya mengambil sehelai
kertas kecil dari buku kedatangan pelajar lalu dihulurkan kertas tersebut
kepada Safiah. Safiah menyambut kertas itu dengan rasa penuh berdebar. Catatan
pada kertas itu dibaca dengan teliti dan laju. Ya Allah! Firdaus.
“Tadi
ayah Firdaus yang hantar surat cuti sakit ni, katanya Firdaus kemalangan.”
Safiah
kaku seketika. Perkhabaran itu membuatkan Safiah pergi meninggalkan meja Cikgu
Syakila begitu sahaja. Safiah kehilangan kata-kata. Jiwanya terasa melayang.
Kalau di ikutkan hati dia ingin berlari, berlari untuk melihat wajah Firdaus.
Meredah segala apa yang ada dihadapannya. Biar apa yang di lakukan kali ini
berdasarkan gerak hatinya. Kalau sembilan tahun yang lalu dia tunduk dan
melakukan segalanya hanya kerana terpaksa sedangkan hatinya berat untuk
merelakan, kali ini tidak! Tuhan telah memberikan dirinya peluang kedua. Dan
peluang itu tidak datang selalu untuk dirinya.
Safiah
menjenguk ke bilik Guru Besar. Pintu bilik itu tertutup rapat. Besar harapan
Safiah agar Guru Besar berada dalam biliknya. Doa dipanjatkan. Harapan kian
mengunung saat telinga Safiah menangkap suara Guru Besar yang sedang berbual
dengan seseorang. Dengan siapa, Safiah kurang pasti. Sekurang-kurangnya hati
Safiah lega kerana Guru Besar berada dalam biliknya. Mata Safiah memandang ke
arah jam dinding. Waktu rehat hampir tamat. Perasaan Safiah menjadi kacau. Dia
ada kelas selepas rehat. Keadaan itu jelas menghancurkan harapannya untuk berjumpa dengan Guru Besar. Loceng disudut
kanan bangunan pentadbiran berbunyi megah. Mendabik dada kerana kenyaringan
suaranya. Sedikit pun tidak memberi simpati pada diri Safiah yang begitu
mengharapkan masa berlalu dengan perlahan. Sayup-sayup kalimah masa adalah tisu
daripada salah seorang pensyarahnya, melemahkan sendi-sendi Safiah. Safiah jadi
malas untuk masuk ke kelas. Tidak seperti selalu. Lima minit sebelum loceng
rehat berbunyi, Safiah sudah bersedia menyusun buku-buku untuk masuk ke kelas
seterusnya.
Dengan
langkah yang lemah, Safiah menuju ke mejanya. Buku matematik tahun enam diambil
dari rak kecil disudut kiri mejanya. Begitu juga buku latihan pelajar yang
sudah disemak. Segera diletakkan diatas buku matematik yang diambil dari rak
tadi. Safiah mengangkat buku-buku itu lalu diatur kemas-kemas dalam
pegangannya. Dengan wajah yang hampa, Safiah memandang ke arah bilik Guru
Besar. Pintu bilik itu masih tertutup. Sekali lagi rasa hampa menyelinap ke
seluruh ruang hati Safiah. Ingin rasanya Safiah mengetuk pintu itu dan terus
menyampaikan hasrat hatinya kepada Guru Besar tersebut. Namun hasrat itu
bagaikan terkurung dalam sangkar hatinya. Perlakuan itu samalah dengan biadap.
Sekalipun jiwa dihantui rasa seksa yang mendalam, dia tidak seharusnya
bertindak sedemikian. Apa yang harus dilakukan sekarang adalah, bertenang.
Firdaus tak akan apa-apa. Firdaus kuat. Kuat seperti dirinya. Cekal dalam menempuh
apa pun. Dalam diam Safiah menanam keyakinan dalam dirinya sebagai usaha untuk
memujuk dirinya sendiri. Kata-kata hati yang berbisik halus segera diusir
dengan kalimah-kalimah zikirullah sekaligus meniupkan segugus ketenangan dalam
nuraninya.
Safiah
menarik nafas dalam-dalam. Entah bagaimana, sebutir mutiara termahal keluar
dari pelupuk matanya. Sekian lama, mutiara mahal itu bertapa dalam ruang
hatinya yang terdalam. Bagaikan suatu kekebalan yang selalu membuatkan Safiah
jauh dari realiti hidupnya. Dan kerana Firdaus, Safiah mulai sedar bahawa
dirinya tak akan mampu lagi menahan kekebalan yang lahir dari sifat degil dan
egonya.
“Ibu
sayang Firdaus lebih dari segalanya!” Safiah berkata dalam diam. Terang dan
tegas. Dengan kata-kata itu, mutiara mahal itu gugur lagi. Sepantas kilat
Safiah menyeka air mata yang mula membasahi pipinya. Dengan langkah yang
teratur, Safiah menuju ke pintu bilik guru untuk ke kelas tahun enam. Guru...
kau ibarat lilin. Kata-kata keramat itu bergema di cuping telinganya. Langkah
Safiah semakin laju. Dia ingin segera sampai ke kelas. Dia ingin segera
mendidik anak bangsa. Dia ingin segera mencurahkan ilmu yang ada dalam dadanya
demi anak bangsa. Dengan senyuman, dia akan terus memujuk hati
pelajar-pelajarnya manja dengan ilmu. Itu harapannya!
# # # # # # # #
“Iya
Puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” soal seorang jururawat muda yang
sedang tersenyum mesra menyambut kedatangan Safiah. Dalam kepayahan Safiah cuba
mengukir senyuman semanisnya. Berada dalam situasi sebegini, agar sukar Safiah
untuk memotivasikan dirinya untuk bertenang lagi. Namun, senyuman ikhlas yang
terukir di bibir Safiah sudah cukup membuatkan jururawat muda itu memahami
keadaan diri Safiah. Berkerja di hospital yang berhadapan dengan pelbagai
situasi yang terlalu dekat dengan kematian membuatkan jururawat muda itu
terlatih dengan emosi masyarakat yang pastinya kurang stabil untuk berada dalam
posisi normal.
“Saya
nak tahu wad Firdaus Bin Iskandar.” Jawab Safiah. Air mukanya jelas menampakkan
kekacauan dalam hatinya. Namun jururawat muda itu tetap tenang dan segera
menaip nama yang disebut oleh Safiah. Tidak sampai seminit, jururawat muda itu
memandang wajah Safiah.
“Wad
Rawatan Rapi, bilik no 301. Pesakit itu sudah koma selama tiga hari Puan,”
jelas jururawat muda itu. Safiah bagai tersihir dengan kata-kata jururawat muda
itu. Sekali lagi, Safiah merasakan jiwanya seakan-akan melayang. Langsung tak
jejak ke bumi.
“Puan
ni, siapa? Ahli keluarganya?” soal jururawat muda itu lagi. Safiah memandang
wanita itu tanpa berkedip. Safiah kehilangan kata-kata.
“Saya
guru di sekolahnya.” Jawab Safiah ringkas. Pasti akan menjadi suatu perkara
yang mengelirukan jika Safiah memberitahu bahawa dirinya adalah ibu kepada
Firdaus. Untuk tidak merosakkan keadaan, hanya jawapan itu yang paling sesuai.
“Wad
Rawatan Rapi berada di tingkat tiga.” Terang jururawat muda itu. Safiah
memandang ke arah tanda nama di sebelah kiri baju uniform jururawat itu.
Tertulis perkataan - Anita.
“Terima
kasih Cik Anita,” ujar Safiah lalu meninggalkan kaunter pertanyaan.
Segera
dia menuju ke arah lif. Sampai ke angka tiga. Pintu lif itu terbuka secara
automatik. Di depan pintu lif, Safiah terpaku seketika apabila wajah Iskandar
tiba-tiba muncul depan pintu lif. Safiah melangkah keluar dari lif dengan penuh
debar. Namun dia cuba berlagak tenang. Tenang seperti air di kali. Tumpuannya
cuma satu – Firdaus. Selain daripada perkara Firdaus, Safiah tak mahu tahu dan
tak akan ambil tahu. Tanpa kata-kata, Safiah mencari bilik no 301. Iskandar
hanya membiarkan Safiah terus mencari. Sampai pada bilik yang terletak
dihujung, tertera angka 301 di depan pintu. Safiah kaku lagi. Berfikir sama ada
dia layak untuk masuk menjenguk Firdaus. Seperti tahu apa yang berada dalam
fikiran Safiah, Iskandar memulas tombol pintu. Daun pintu terbuka. Seorang
wanita bertudung selendang sedang duduk sambil memegang jari jemari Firdaus
yang sedang terbaring kaku. Serta merta wanita itu menoleh. Wajah wanita itu
begitu asing pada Safiah namun dalam hati, Safiah sedar wanita itu adalah
isteri Iskandar. Secalit rasa cemburu menusuk ketangkai hati Safiah. Wanita itu
cantik. Secantik bidadari. Secocok untuk Iskandar.
Wanita
itu angkat lalu berdiri disebelah Iskandar. Mata Safiah sempat menangkap
pemandangan pegangan tangan wanita itu dengan Iskandar. Begitu erat dan kukuh.
Pandangan itu menyakitkan hati Safiah. Meruntuhkan segala rasa hatinya yang
selama ini cuba di usir jauh. Safiah sedar akan kedudukan dirinya di hati
Iskandar. Iskandar mengizinkan dirinya untuk melihat Firdaus sudah dikira
bersyukur. Sudah dikira kurniaan yang tidak ternilai dari erti perikemanusiaan
yang entah dari mana Iskandar perolehinya. Masih terasa sakit dipipi kanan Safiah
akibat tamparan membuta tuli Iskandar. Segalanya bagaikan duri dalam hati
Safiah. Biarlah Firdaus yang menjadi penawar. Wajah pucat Firdaus ditenung
dalam-dalam. Perlahan-lahan air mata Safiah mengalir. Kali ini laju sahaja air
mata itu mengalir. Sukar bagi Safiah untuk menyekat air mata itu dari terus
mengalir kerana hatinya terlalu sayu melihat Firdaus yang sedang bertarung
menahan kesakitan. Apatah lagi dengan rindu yang terlalu mendalam. Sekaligus
membuatkan hati Safiah lemah. Lemah mengenangkan nasib malang yang mengiringi
perjalanan hidupnya. Lemah mengenangkan masa silamnya yang begitu menyeksa
jiwa. Lemah memandang wajah Firdaus yang pastinya tidak mengenali siapa dirinya
yang sebenarnya. Air mata Safiah jatuh lagi. Dalam sepi Safiah menahan esak
tangisnya. Namun samakin cuba ditahan semakin deras air matanya mengalir.
Safiah bingkas bangun lalu keluar dari bilik itu. Dihujung koridor Safiah
menghemburkan air mata sepuas-sepuasnya. Terhinjut-hinjut bahunya menahan
tangis.
“Safiah....”
panggil satu suara.
Safiah
menoleh. Sisa air mata diseka dengan tisu.
“Aku
bukan nak halau kau, tapi aku rasa kau tak patut berada di sini Safiah. Aku
yakin Firdaus tak perlukan kau. Firdaus dah ada mama yang menyayangi dia. Hidup
kami sempurna Safiah,” jelas Iskandar dengan nada yang mendatar. Wajah Iskandar
selamba.
Kata-kata
Iskandar bagai satu renjatan elektrik yang bisa melumpuhkan segala sendi dan
urat saraf. Safiah menarik nafas dalam-dalam. Kata-kata Iskandar ditelan jauh
kedalam lubuk hatinya. Harap dihati kata-kata itu hancur lalu menjadi debu.
Safiah memandang jauh kedalam anak mata Iskandar. Lelaki itu buta. Cukup buta
untuk menilai apa yang ada di depan matanya. Entah dimana sukarnya untuk lelaki
itu untuk melihat segala kebenaran yang sekian lama tersembunyi.
Safiah
diam membatu. Dia lalu duduk di kerusi yang sedia ada di koridor. Suasana
koridor yang tidak ramai orang membuatkan Safiah berasa agak selesa namun
selagi Iskandar berada dihadapannya, dada Safiah terasa bagai ditekan. Sesak.
Apatah lagi lelaki itu adalah suami orang. Iskandar memandang wajahnya dengan
serius. Safiah menoleh ke tepi.
“Ada
baiknya kau pulang Safiah.” Ujar Iskandar untuk kedua kalinya. Kali ini suara
itu keras. Safiah melawan dalam diam. Sesungguhnya lelaki itu langsung tidak
ada hak untuk menghalau dirinya!
“Kau
siapa nak halau aku?” soal Safiah setelah sekian lama mendiamkan diri. Wajah
Iskandar merah menahan geram. Kesabaran Iskandar benar-benar teruji dengan
kata-kata Safiah. Dengan segala kekusutan yang melingkari fikiran Iskandar,
tentu sahaja kesabarannya cuma senipis kulit bawang. Bagi Safiah, memang tidak
terduga dia akan menyoal soalan itu kepada Iskandar. Kalau dulu, kepalanya
dipijak-pijak sampaikan dia terpaksa melepaskan Firdaus kepada keluarga lelaki
itu. Mungkin iu tindakan terbodoh yang pernah dia lakukan tetapi setelah
dikurniakan dengan ketabahan yang tinggi, Safiah nekad untuk berjuang demi
Firdaus.
“Abang!”
suara wanita yang berselendang itu bergema di koridor. Wajahnya cemas dan tergambar
perasaan takut dari riak wajahnya. Sepantas kilat Iskandar masuk semula ke
dalam bilik. Safiah mengikut dari belakang, namun di halang keras oleh
Iskandar. Safiah tinggal di luar seperti orang asing. Sebentar, sekumpulan
jururawat yang diketui doktor berlari-lari anak masuk kedalam bilik Firdaus.
Wanita itu dan Iskandar disuruh keluar.
“Sabar
sayang, Firdaus tak akan apa-apa,” pujuk Iskandar dengan lembut. Wanita itu
memeluk Iskandar dengan erat. Iskandar menyeka air mata wanita itu dengan
tangannya. Sungguh mesra. Luluh hati Safiah melihat pemandangan yang sungguh
menyeksa batinnya. Mahu sahaja dia terus pergi dari menjadi orang bodoh di
situ. Namun hatinya dikuatkan demi Firdaus.
Selang
beberapa minit, doktor yang merawat Firdaus keluar. Wajahnya sedikit kusut.
Entah apa berita yang hendak disampaikan. Sekali lagi Safiah memujuk hatinya
agar terus bersabar.
“Firdaus
mengalami komplikasi yang teruk di bahagian buah pinggangnya. Dengan satu
sahaja buah pinggang yang tinggal membuatkan Firdaus mungkin tak mampu bertahan
lama. Kita sama-sama berharap agar ada penderma buah pinggang yang sesuai
dengan Firdaus.”
Tangan
Safiah bergetar menahan pilu di hati. Wajah Iskandar ditatap dengan penuh rasa
kecewa. Sampai hati Iskandar menyembunyikan perkara itu daripadanya. Walaupun
selama ini dia tidak menjaga Firdaus, tetapi sebagai ibu kandung Safiah merasa
dia berhak ke atas Firdaus. Tetapi sejauh itu, Iskandar meletakkan kedudukan
dirinya dalam hidup Firdaus. Tak ubah seperti orang asing!
Safiah
terduduk dikerusi. Walau apa pun yang terjadi, dia rela berkorban demi Firdaus.
Firdaus adalah satu-satunya darah dagingnya. Sekalipun dia tak akan biarkan
Firdaus begitu sahaja. Safiah menarik nafas dalam-dalam. Iskandar dan isterinya
masuk semula kedalam bilik tanpa sedikitpun mempedulikan keadaan dirinya.
Tindakan itu walaupun cukup melukakan hati Safiah namun Safiah sedar siapa
dirinya. Tanggungjawabnya hanya untuk Firdaus. Selama ini dia bangun melawan
kegagalan hidup hanya kerana Firdaus. Belajar sampai berjaya mendapat ijazah
semata-semata kerana Safiah mahu Firdaus bangga akan dirinya pada suatu hari
nanti. Demi tekad itu juga, Safiah rela berkorban demi Firdaus. Dalam hati,
panjang doa Safiah agar buah pinggangnya sesuai untuk Firdaus. Safiah bangun
lalu menuju ke bilik doktor. Perlahan-lahan air matanya jatuh. Rindunya pada
Firdaus belum terlunas sepenuhnya. Janganlah sesuatu yang buruk menimpa
Firdaus... dalam diam jiwa Safiah terus merintih.
# # # # # # # # #
Safiah
menarik nafas kelelahan. Peluh yang memercik segera diseka dengan tisu. Sejak
buah pinggangnya ditukar hak milik kepada Firdaus, Safiah tidak segagah dahulu.
Segala pergerakkannya agak terbatas. Banyak aktiviti sekolah terpaksa
dilepaskan demi menjaga kesihatannya. Namun hati Safiah lega, sekurang-kurangnya
Firdaus terselamat. Safiah melirik ke sebuah meja kosong, tempat duduk itu dulu
adalah kepunyaan Firdaus. Namun kini, hanya bayang-bayang Firdaus yang tinggal.
Terkadang, Safiah merasa terlalu sedih saat wajah Firdaus singgah ke dalam kotak
fikirannya. Hendak diusir, hatinya terlalu merindui wajah anak kecil itu.
Sudahnya, kenangan itu terus bermain-main dalam kotak fikirannya.
Loceng
berbunyi panjang. Tanda waktu persekolahan telah tamat. Pelajar-pelajarnya
sejak tadi sudah seperti cacing kepanasan. Tak sabar-sabar menanti bunyi loceng
terakhir itu berbunyi. Bagi Safiah, ada dua jenis bunyi loceng yang digemari
palajar. Yakni bunyi loceng menandakan waktu rehat dan bunyi loceng menandakan
waktu balik. Walaupun bunyinya hanya mendatar namun bagi pelajar, bunyi itu
adalah bunyi keramat. Mengerti akan situasi pelajarnya seperti cacing yang kepanasan,
Safiah mengangkat beg tangan dan buku-buku dan dengan lantang....
“Terima
kasih semua.”
Dengan
wajah yang cukup gembira, pelajar-pelajarnya berdiri lalu “Terima kasih
Cikgu.....”
Langkah
dimulai dengan perlahan, namun sebaik sahaja kaki melangkah keluar pintu kelas,
bagai angin mereka berlari. Situasi itu biasa pada Safiah. Sudah berulang kali
dia memberi nasihat agar jangan berlari di koridor kelas. Tetapi fenomena itu
tetap berlaku. Safiah membiarkan semua pelajar keluar dahulu. Sebenarnya,
Safiah malas hendak bersesak-sesak dengan pelajar yang pulang. Biarlah keadaan
agak lenggang sedikit barulah Safiah bergerak ke bilik guru. Perjalanan untuk ke
bilik guru tidaklah jauh, hanya beberapa meter. Sampai di mejanya, Safiah duduk
seketika sambil meneguk air suam untuk membasahkan tekak. Keadaan dibilik guru
juga sudah agak lengang. Ramai para guru telah pulang. Hanya tinggal beberapa
orang guru yang masih sibuk dengan tugas-tugas yang masih belum selesai. Safiah
menyusun mejanya yang agak bersepah. Sebuah sampul surat yang berbunga-bunga
terselit diantara buku-buku. Safiah kehairanan. Entah dari mana datangnya surat
tersebut. Dengan pantas Safiah membuka. Bulat mata Safiah membaca sebaris ayat
yang tertulis. Dengan pantas juga mata Safiah memandang ke luar.
Kita jumpa ditempat
biasa, aku tunggu kau.......
-Iskandar-
Tempat
biasa? Safiah jadi hairan. Masih ingat juga Iskandar pada tempat yang penuh
dengan kenangan itu. Namun, untuk apa lelaki itu menemuinya. Belum puas agaknya
lelaki itu memarahinya. Hutang-hutang lama mana mungkin dapat terbayar, entah
apa yang belum selesai. Selama ini pun dia tidak pernah menuntut haknya sebagai
ibu kepada Firdaus, habis tu apa lagi yang belum selesai? fikir Safiah. Jika
benar, apa yang harus dia lakukan. Safiah jadi bingung. Buku-buku diatas meja
segera disusun dengan kemas. Sekilas Safiah memandang kearah jam dinding.
Teringat Safiah akan dirinya yang belum mengerjakan solat Zohor. Selesai sahaja
mengemas buku, Safiah mengambil bakul plastik yang berisi kain telekung. Tangungjawab
yang satu ini tidak boleh dilengah-lengahkan. Dengan tenang Safiah melangkah ke
arah surau guru yang terletak tidak jauh dari bilik guru. Dalam hatinya
terus-terusan berdoa agar hatinya tenang dan bersabar.
Dengan
gerak pantas Safiah menuju ke tempat yang di janjikan. Kuat hatinya ingin
mengetahui apa sebenarnya yang menyebabkan Iskandar ingin menemuinya. Dari jauh
mata Safiah melihat kelibat Iskandar yang sedang duduk tanpa ada sesiapa di
sisinya. Fikir Safiah, isteri Iskandar pasti ada bersama-sama.
“Kau
datang juga ya.” Ujar iskandar memulakan bicara. Safiah diam membatu. Sukar
untuk Safiah menjawab, kerana bagi Safiah kata-kata Iskandar begitu dalam
maksudnya.
Anak
mata Iskandar merenung ke anak mata Safiah. Renungan itu tidak seperti selalu.
Yang begitu tajam dan menakutkan. Dan renungan kali ini adalah renungan yang
biasa dilihat Safiah pada suatu ketika dahulu. Di saat bahagia masih dalam
gengaman.
Safiah
hanya tunduk. Takut untuk bertentang mata. Suasana sepi dan hanya kicau burung
yang kedengaran. Bunyi nafas Iskandar jelas menyentuh gegendang telinga Safiah.
“Maafkan
aku, aku tak tahu perkara yang sebenarnya yang berlaku. Maafkan aku Safiah.”
Bergetar nada Iskandar menuturkan ayat-ayat itu. Seperti ada suatu kesalan yang
maha hebat menerpa ke dalam jiwa Iskandar.
Safiah
kaku. Buat kali pertama dalam hidupnya, Iskandar menitiskan air mata.
“Aku
tak tahu yang mama sengaja memisahkan kita. Aku tak tahu yang kau terpaksa
berpisah dengan Firdaus. Aku terlalu lalai Safiah. Maafkan aku Safiah, maafkan
aku...” sekali lagi Iskandar merayu. Penuh sayu dan memilukan. Iskandar menatap
wajah lembut Safiah. Sudah berapa kali dia berkasar dengan wanita itu. Sudah
berapa kali dia melanggar janji-janjinya pada wanita itu. Sudah berapa kali
hati wanita itu terhiris dan entah masih adakah ruang kemaafan untuk dirinya
dari wanita itu. Air mata Iskandar jatuh.
Safiah
merenung jauh ke langit biru. Kenangan sembilan tahun lalu menerpa kembali.
Segera dijauhi namun kenangan itu tetap singgah ke mindanya.
“Kau
memang tak layak jadi menantu aku! Perempuan miskin! Hei anak aku tu
berpelajaran tinggi, kau tu apa yang kau ada ha?! Perempuan kampung! Aku nak
lepas kau bersalin, kau berambus dari rumah aku ni, sebelum tu kau tandatangan
surat cerai ni!”
Kata-kata
itu terngiang-ngiang di cuping telinga Safiah. Namun hati yang tenang
meredhakan segala apa yang telah terjadi. Dia sendiri yang tidak kuat melawan
semua dugaan itu. Hanya kerana dia terlalu lapar dan terlalu haus setelah
berhari-hari tidak diberi makan dan minum. Apatah lagi di saat dia sarat
mengandungkan Firdaus. Entah dengan kuasa apa dia menandatangani satu surat
yang dia sendiri kurang pasti akan isinya. Safiah menarik nafas dalam-dalam.
Terlalu perit untuk dikenang sagala yang telah berlaku. Cukuplah kenangan itu
bersemadi dalam hatinya selama ini. Tibalah waktunya kenangan itu pergi jauh
dari hidupnya dan dia redha memaafkan bekas mak mentuanya.
“Abang
Is, Safiah langsung tak berniat untuk menderhaka pada abang. Safiah redha
dengan segala yang telah berlaku.” Ujar Safiah pendek. Setitis air matanya
gugur membasahi pipi. Safiah mengusap perlahan pipinya. Iskandar menghampiri
Safiah. Pantas jari jemari kasar itu cuba untuk mengusap air mata Safiah.
Safiah mengelak. Iskandar hanya tertunduk apabila menyedari keterlanjuran
dirinya.
Safiah
memandang ke sekeliling. Tempat itu sunyi dan jauh dari pandangan mata orang.
Hati Safiah jadi tak sedap. Iskandar suami orang, sedangkan dia seorang guru
yang perlu menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat. Sekali orang
mengata, pasti sukar untuk menghentikan.
“Safiah
sayangkan Firdaus, sangat sayangkan Firdaus. Demi Firdaus, Safiah rela
berkorban. Cukup Firdaus tahu siapa ibu yang melahirkannya. Itu sahaja yang
Safiah nak dari abang. Safiah minta diri. Kita tak boleh berdua-duaan macam ni.
Safiah pulang dulu. Assalamualaikum.” Safiah membuka langkah yang pantas.
Langsung tidak menoleh kebelakang. Air mata Safiah begitu deras mengalir. Entah
kenapa dia merasa begitu sedih sekali kerana lelaki itu yang suatu ketika
dahulu adalah tempat dia meluahkan perasaan, kini seperti orang asing dalam
hidupnya. Inilah hidup. Dan dia sentiasa di hati. Safiah memberhentikan
langkahnya. Dia menoleh sekilas kewajah Iskandar yang tertinggal jauh di
belakang. Beribu kekesalan terpancar jelas diwajah itu. Biarpun kebenaran telah
terbukti, namun segala-galanya telah terlambat.
Gerimis
turun secara tiba-tiba. Safiah telah masuk kedalam perut kereta. Dia yakin
pasti Iskandar masih terpaku disana. Biarlah. Walau jasad menjauh namun Safiah
tahu, hatinya selalu dekat dengan mereka.....
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment