:: DI SEBALIK HATIMU ::


            Menyampah! Kenapa lelaki itu sentiasa menyusahkan hidup aku! Hati Suraya membentak. Panas hatinya setiap kali melihat wajah yang selalu membuatkan hidupnya bermasalah. Bagaikan suatu bala yang sentiasa mengekori setiap kali wajah itu muncul. Dan hatinya tak akan tenteram selagi wajah itu masih terpacak di ruang matanya.
            “Hei awak yang salah tau, kalau awak tak sibuk sangat nak menolong mesti semua ini tak akan terjadi!” laju kata-kata itu keluar dari mulut Suraya. Matanya tajam memandang wajah itu.
            “Dahlah tak ada terima kasih, tak pasal-pasal kita pulak yang kena herdik. Eh perempuan, awak tu orang baru kat sini, selok belok tempat ni awak langsung tak tahu. Saya cuma memberi panduan, salah silap datang dari awak sendiri.”
            Api yang sedang membara makin menyala-nyala. Bergetar badan Suraya menahan api kemarahan yang semakin memuncak di dada. Seluruh nafas ditarik dalam-dalam. Tanpa berkata apa-apa, Suraya membelakangkan tubuhnya. Peluh yang mula memercik dikesat kasar pada hujung lengan. Anak mata Suraya meliar ke sekeliling kawasan itu. Dari dia sibuk bertekak dengan lelaki tak guna itu, lebih bagus dia fikir jalan keluar dari hutan tebal. Hari pun hampir gelap.
            “Awak nak kemana?”
            “Cari jalan keluarlah,” Suraya menjawab kasar.
            “Tak payah.”
            Suraya menoleh. Wajah lelaki itu tenang. Suraya merenung tajam. Isyarat kepada tahap kemarahannya yang makin meluap-luap.
            “Dah tu awak nak bermalam kat sini?” soal Suraya dengan nada yang agak tinggi. Hati Suraya makin panas apabila lelaki itu hanya mengangguk. Memang lelaki itu sengaja mengumpan dirinya jauh ke dalam hutan. Mungkin lelaki itu hendak membalas dendam. Siapa tahu? Dari muka yang nampak baik macam tu, mungkin hatinya jahat. Kemungkinan besar. Dakwa hati Suraya. Sekejap-sekejap matanya menjeling ke arah lelaki itu. Jarak antara dirinya dengan lelaki itu agak jauh. Sengaja Suraya menjarakkan dirinya. Bimbang. Dan yang paling penting adalah dia harus berwaspada setiap masa.
            “Esok kita cari jalan keluar dari hutan ni.” Ujar lelaki itu tiba-tiba. Sekelompok kayu diletakkan dihadapan Suraya.
            “Nak buat apa kayu ni?” soal Suraya.
            “Makan.”
            Suraya menjeling. Apa dia fikir aku ni bodoh? Dengus hati kecil Suraya.
            “Nah ambil mancis ni, awak nyalakan unggun api. Reti tak reti awak kena buat. Saya nak ke sungai.” Lelaki itu mengarah. Nadanya tegas. Matanya tajam. Mukanya serius. Tanpa berkata apa-apa lagi lelaki itu terus menuju ke dalam semak dan Suraya menarik nafas lega. Namun apabila terpandang selonggok kayu api yang berada dihadapannya, Suraya menjadi gelisah. Dia sendiri tidak pasti apa yang harus dia lakukan kerana dia tidak pernah melakukan perkara tersebut. Dengan pantas Suraya mengambil mancis yang berada tidak jauh dari tempat duduknya.
            “Memang tak guna betul laki ni, apa pulak aku yang harus buat semua ni!” bebel Suraya sendirian. Seketika dia matanya meliar ke sekeliling. Sunyi dan menyeramkan. Bersendirian di dalam hutan tebal sebegini membuatkan bulu roma Suraya tiba-tiba meremang. Pelbagai cerita yang pernah di dengarnya mula membuatkan Suraya membayangkan perkara yang bukan-bukan. Peluh dingin mula memercik. Secara tiba-tiba telinganya menangkap bunyi ranting kayu yang dipijak. Serta merta mata Suraya terarah ke arah bunyi itu. Suraya menelan air liur, namun dalam situasi seperti itu Suraya cuba menenangkan dirinya. Suraya melihat ke sekelilingnya dengan harapan dia menemui benda yang tajam sebagai pelindungnya. Namun hampa kerana yang ada ditepinya pada ketika itu adalah selonggok kayu yang telah dipotong. Suraya menarik nafas dalam-dalam. Lelaki tak guna! Berani dia biarkan aku sendirian tanpa apa-apa alat untuk perlindungan diri! Sekali lagi benak Suraya menyumpahi lelaki itu. Dalam keadaan yang serba panik, Suraya mencapai sebatang kayu yang agak panjang. Digengamnya erat-erat batang kayu itu dan dihala kehadapan. Lagaknya seperti pahlawan pedang semurai yang sedang bersedia untuk berlawan.
            Mata Suraya begitu teliti memandang kearah semak. Setiap pergerakan segera dikawal dengan langkah berhati-hati. Seperti dia sedang bersedia untuk menghadapi sebarang malapetaka. Bunyi itu semakin hampir! Peluh dingin semakin membasahi dahi Suraya. Kali ini Suraya benar-benar bersedia untuk berperang. Gerak kakinya di atur dengan perlahan dan tanpa mengeluarkan bunyi. Dari dalam semak datang seekor ayam hutan yang sedang leka mematuk tanah. Suraya menghembuskan nafas lega. Ayam itu adalah makanan! Sedap jika dipanggang! Dengan langkah yang amat perlahan Suraya menghampiri ayam itu. Kali ini Suraya bukan berjuang untuk berperang, sebaliknya dia sedang berjuang untuk makan malam!
            Tanpa sengaja Suraya terpijak daun kering, dan dengan pantas ayam itu berlari ke sebatang pohon di sebalik semak. Riak wajah Suraya hampa. Makan malamnya terlepas. Dan perutnya terasa berkeroncong minta diisi. Laparnya... keluh Suraya.
            Suraya kembali ketempatnya. Perkara yang harus dilakukannya adalah menyalakan unggun api dan jika tidak lelaki itu akan mengamuk. Apabila lelaki itu sudah berada dalam situasi mengamuk maka mulutnya akan tidak berhenti-henti membebel. Betul-betul macam burung kakak tua!
            Sekali lagi Suraya menyumpah.....
            Suraya menarik nafas panjang. Selama ini dia langsung tidak pernah menyalakan unggun api. Bagaimana untuk menyalakan api pada kayu pun dia tidak pernah apatah lagi bila dicampak selonggok kayu dan sekotak mancis. Apa perkara pertama yang harus dilakukan? Macam mana nak nyalakan api pada batang pokok yang besar ni? Suraya mati akal.
            Tanpa berfikir panjang, Suraya menyusun batang kayu itu secara bertindih dalam bentuk segitiga. Dan sebatang mancis dinyalakan lalu dicampak kebawah kayu-kayu yang ditindih itu. Api pada mancis itu lantas padam! Suraya kaget. Mungkin haba pada nyalaan api itu tidak cukup kuat membaham batang-batang kayu. Mata Suraya mencari sesuatu yang mudah dibakar atau pemangkin untuk membuatkan kayu itu terbakar. Ditengah-tengah hutan macam ni mana ada tong minyak gasolin! Bibir Suraya mencebik. Dia mendongak kelangit. Terang mentari makin kelam. Dalam beberapa ketika malam akan menjengah. Kalau tidak ada cahaya maka dia akan bergelap. Dan apabila gelap dia pasti akan terdedah kepada bahaya. Oh tidak! Mata Suraya meliar. Dia harus segera menyalakan unggun api. Suraya terpandang dedaun kering. Mungkin itu mampu membantu dirinya untuk menyalakan unggun api. Suraya mengumpul dedaun kering dan di atas longgokan dedaun kering itu diletaknya beberapa batang kayu. Suraya menyalakan 4 batang mancis dengan serentak lalu diletakan di atas dedaunan kering itu. Api menyala dengan marak lalu membakar batang kayu itu. Suraya tersenyum lebar.
            “Yang awak tersenyum tu kenapa?” suara itu menyapa. Dan suara itu milik lelaki itu. Suraya hanya menelan air liur. Matanya hanya fokus kepada unggun api yang baru sahaja hendak menyala. Sikit pun dia tidak berpaling kepada lelaki itu. Hatinya benci menatap wajah lelaki itu. Meluat!
           “Sana ada sungai, awak nak mandi ke, nak basuh muka ke, nak berendam ke, awak pergilah, tapi jangan lama. Hari dah nak gelap, nak cari jalan pulang susah.” Lelaki itu bersuara lagi. Suraya menoleh sekilas. Tanpa berkata apa-apa Suraya pergi menuju kearah yang dimaksudkan.
‘Bodohlah laki ni, berani dia suruh aku pergi sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa kat aku, tak ke aku yang susah. Kalau tak ingat badan aku ni dah melekit-lekit macam gam, memang aku tak ingin sorang-sorang ke sungai.’ Hati kecil Suraya membebel lagi. Dihujung ranting beburung kecil ligat mencari tempat untuk berehat kerana senja makin menghampiri. Dan sekawan tupai bergerak-gerak dari dahan pokok kedahan pokok yang lain. Sesekali mereka tersentak apabila mendengar Suraya membebel sendirian.
            #          #          #          #          #          #          #          #
Sebuah pondok telah terdiri dengan begitu megah namun tidaklah begitu sempurna, Cuma cukup untuk satu malam. Agak Suraya. Lelaki itu duduk dihadapan unggun api sambil memegang sesuatu. Suraya mengamati dalam diam. Makanan! Perutnya dari tadi asyik berkeroncong minta diisi terasa begitu tidak keruan apabila aroma sedap menusuk ke deria baunya. Namun Suraya berlagak selamba. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk duduk jauh dari lelaki itu. Tanpa berkata apa-apa Suraya membatukan diri sambil matanya melihat seekor ikan besar sedang dipanggang dan seekor ayam hutan yang hampir masak. Suraya mengagak ayam hutan yang dipanggang oleh lelaki itu, adalah ayam hutan yang cuba ditangkapnya petang tadi. Hebat juga lelaki itu dapat tangkap ayam hutan yang hiperaktif tu. Perut Suraya berbunyi dan perutnya memang lapar dan itulah kebenarannya.
“Berani awak duduk di situ. Tak takut?”
Suraya mendonggak. Wajah lelaki itu ditatap dengan tajam.
“Habis tu nak duduk mana?” soal Suraya dingin. Serentak itu, matanya memandang ke sekeliling. Mentari dah terbenam. Suara unggas pula begitu menyeramkan. Rupa pokok pula seperti gergasi patung apabila dipancar cahaya suram. Keadaan itu sedikit sebanyak membuatkan bulu roma Suraya meremang. Mata Suraya kembali menatap wajah lelaki itu. Wajah itu tenang dan selamba. Dia seperti sudah biasa dengan keadaan sebegini. Agaknya dia selalu sesat kat hutan kot. Suraya bermonolog sendirian.
“Awak duduk dalam pondok, malam ni awak tidur dalam pondok tu, doalah hari ni tak hujan. Esok kita cari jalan pulang. Tak payah susah hati, tempat ni saya dah lindungi, nampak garisan putih tu?”
Suraya mengangguk. Memang dari tadi dia perasan akan garisan putih yang seakan-akan memagari tempat rehat mereka. Namun Suraya malas hendak menanya. Rupa-rupanya ada makna.
“Jangan awak pijak dan keluar dari garisan tu, kalau ada apa-apa kejutkan saya.” Lelaki itu memberi arahan. Suraya pula seperti disihir kerana sentiasa mengangguk. Tidak seperti petang tadi, mulutnya lancang melawan kata lelaki itu. Dalam hati, Suraya tertanya-tanya kenapa garisan putih itu tidak boleh dipijak. Namun soalan itu terbenam jauh ke dalam hati. Bukan segan untuk bertanya, tetapi takut untuk mengetahui hal-hal yang tidak sepatutnya. Jadi untuk mengelakkan perasaan takut itu bermaharajalela di dalam diri, Suraya hanya memandang ke arah makanan yang dipanggang oleh lelaki itu. Sedikit sebanyak dia akan melupakan di mana dia berada pada ketika itu.
“Awak nak ikan atau ayam?”
Suraya diam sejenak. Kalau ikutkan hati, dia nak kedua-dua sekali. Tetapi soalan lelaki itu seperti memberi pilihan.
“Ikan atau ayam?” Suraya menyoal seperti orang bodoh. Lelaki itu mengangguk.
“Setengah ikan, setengah ayam. Boleh tak?”
Kening lelaki itu berkerut. Dan sulung kali Suraya melihat lelaki itu mengukir senyuman. Dalam hati Suraya merasa tenang melihat wajah itu tersenyum.
‘Pandai pun senyum, ingatkan kau tu dah buta hati,’
“Boleh, saya tahu awak lapar. Lagipun sepanjang hari awak tak makan, asyik makan coklat saja. Ambil air mineral ni, cuci tangan sebelum makan,” pesan lelaki itu. Suraya terkedu. Prihatin juga lelaki skema ni. Suraya melirik senyum simpul sebagai tanda terima kasih. Mahu mengucapkan dia berasa agak malu. Nampak sangat seperti dia akan berbaik-baik dengan lelaki itu. Suraya mencuci tangan dengan air mineral yang diberi. Dengan lafaz Bismillah, Suraya mencubit isi ikan yang di sendiri tidak tahu ikan apa lalu menyuap ke dalam mulut. Sedap tapi seperti ada kekurangan.
“Tak ada garam awak, sebab tu rasa ikan tu macam tu.” Lelaki itu memberi penjelasan. Dia seperti tahu apa yang ada dalam fikiran Suraya pada ketika itu. Suraya hanya diam dan terus makan. Perutnya kosong. Dan dia benar-benar lapar. Beberapa minit berlalu, Suraya meneguk baki air mineral yang ada dalam botol. Perutnya kenyang.
“Ayam ni ayam hutankan? Petang tadi saya cuba tangkap, tapi terlepas,” ujar Suraya. Lelaki itu tersenyum. Sambil mengemas tampat unggun api lelaki itu membersihkan tangannya dengan mengunakan air yang agak coklat sedikit. Mungkin air sungai yang diambilnya petang tadi. Suraya jadi hairan. Air basuh tangannya, air mineral, tetapi lelaki itu hanya mengunakan air sungai. Suraya memandang wajah lelaki itu dalam diam. Dalam dia tidak sedar, rupa-rupanya lelaki itu baik dengannya. Selama ini dia selalu menyumpah lelaki itu kerana setiap kali lelaki itu muncul dihadapannya pasti ada perkara yang buruk akan berlaku. Suraya memandang kedalam pondok. Ada gebar disitu dan Suraya tahu gebar itu adalah milik lelaki itu. Begnya dah terlepas kedalam sungai petang tadi kerana terjatuh dan lelaki itu yang menyelamatkannya daripada lemas. Oleh kerana itu, peta dan kompas turut hilang di hanyut kedalam sungai dan membuat dia dan lelaki itu hilang arah. Namun begitu dia tetap memarahi lelaki itu kerana melepaskan beg galasnya.
“Awak fikir apa?” lelaki itu menyoal. Mungkin kerana dia melihat Suraya hanya diam membisu tanpa berkata apa-apa.
“Em... tak ada apa,” sahut Suraya.
“Esok kita pasti dapat keluar dari hutan ni. Insyaallah.”
“Pasti?”
“Iya saya pasti.”
“Awak dah biasa kat hutan ke?” soal Suraya. Perkataan pasti sedikit sebanyak membuatkan hatinya lega sedikit. Kali ini satu-satunya harapan yang tinggal adalah dengan berharap dengan lelaki itu.
“Saya biasa masuk hutan, Cuma hutan ni agak tebal dan saya belum biasa. Kalau kita teruskan perjalanan petang tadi,  kita pasti akan jauh dari sungai. Sebab tu saya berhenti kat sini saja.
“Kenapa suka masuk hutan?” Suraya menyoal lagi. Matanya terus memandang kearah wajah lelaki itu, seperti sinar kebencian yang meluap-luap sebelum ini, telah hilang dari hatinya.
“Hati saya rasa damai, jiwa saya rasa tenang.”
Suraya tercengang mendengar penjelasan lelaki itu, dia kemudiannya diam lalu mengamati suasana sekeliling. Sunyi tetapi meriah. Bunyi penghuni rimba yang bersahutan menbuatkan hatinya jadi tenang. Kalau di ibu kota, perkata sunyi itu adalah senyap dari segala-galanya. Tetapi didalam  hutan ini, kesunyiannya amat indah. Dan keindahan itu dapat dirasa dihujung hati. Mungkin inilah yang dinamakan dengan ketenangan.
“Kenapa awak benci dengan saya?” lelaki itu menyoal. Nadanya mendatar dan wajahnya seperti terlalu ingin tahu. Suraya menarik nafas dalam-dalam.
“Betul awak nak tahu?” Suraya melontar soalan kepastian. Lelaki itu hanya tersenyum tanda dia benar-benar ingin tahu.
“Awak keras macam tiang, hati macam patung, muka garang macam singa. Setiap kali awak muncul depan saya, mesti ada sahaja yang tak kena, contohnya ekspedisi kali ni, entah kenapa Prof gandingkan saya dengan awak. Tengok apa dah jadi, selama ni tak pernah jadi macam ni tau.” Terang Suraya tanpa berselindung. Kening lelaki itu berkerut dan akhirnya lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Suraya jadi blur. Hairan. Gila dah kot laki ni, cemuh Suraya dalam hati. Seketika, ketawa lelaki itu terhenti. Dia memandang wajah Suraya.
“Macam-macamlah awak ni,” ujar lelaki itu dengan nada yang rendah.
“Dah memang betul pun,” sahut Suraya.
“Jangan nilaikan orang melalui luaran, pasal Prof tu, nanti kita tanya kenapa dia letakkan saya dalam kumpulan awak. Lagipun kita sesat kerana awak yang beria-ia benar nak cuci muka disungai. Sudahlah awak tak beritahu kawan awak yang awak nak berhenti sekejap, mujur saya perasan yang awak tak ada, kalau saya tak perasan macam mana? Mesti awak sorang-sorang malam ni kan.” Ulas lelaki itu panjang lebar. Suraya tergaman. Ledahnya jadi kelu untuk terus melawan. Apa yang didengarinya itu adalah benar, takkan dia nak putar belitkan kenyataan. Suraya mengeluh. Tanpa berkata apa-apa, dia masuk kedalam pondok. Daripada dia tercanguk berdepan dengan lelaki itu, ada baiknya dia pejamkan mata dan rehatkan badannya yang keletihan.
Perlahan-lahan Suraya merebahkan badannya keatas gebar. Terasa selesa sedikit urat-urat sendinya apabila dapat baring ditempat yang agak selesa. Suraya memejamkan matanya. Selepas seketika,  mata Suraya terbuka luas.
“Awak tidur kat mana malam ni?” soal Suraya tiba-tiba.
“Kat sini, jangan risau. Saya tak akan buat perkara yang tak sepatutnya. Awak tidurlah. Selamat malam Suraya.”
Suraya tersenyum. Dalam diam dia mula merasakan lelaki itu tidaklah seteruk mana pun. Lelaki itu baik kot. Suraya menarik nafas dalam-dalam. Dengan mata yang terpejam bibirnya sempat berkata-kata. “ Selamat malam Imran.”
            #          #          #          #          #          #          #
Keadaan kampus yang agak bising membuatkan Suraya jadi bengang. Dia segera mencari tempat yang agak sunyi sedikit. Kepalanya bingung kerana tugasan yang diberikan oleh Prof Harun belum selesai sepenuhnya. Sebelum orang tua itu menagih daripadanya ada baiknya dia selesaikan dahulu. Disudut tangga dihujung bangunan, Suraya melihat susuk tubuh yang amat dikenalinya. Lelaki itu sedang khusyuk melayari internet, mungkin sedang melayari ‘facebook’ agaknya. Tempat yang paling sesuai untuk menyiapkan tugasan Prof Harun adalah tempat itu, tetapi malang tempat itu telah dicuri oleh lelaki itu terlebih dahulu. Suraya berlalu dengan hati yang sebal. Sebenarnya, semenjak kejadian dia dan lelaki itu sesat didalam hutan, satu kampus heboh. Semuanya sibuk menceritakan dia bermalam dengan lelaki didalam hutan. Memang jatuh saham dia sebagai seorang perempuan. Malangnya nasib.
“Suraya!” namanya seperti dipanggil dan pemilik suara itu adalah....
“Emmm awak rupanya.” Suraya memandang wajah Imran. Cadangnya tadi, dia ingin segera berlalu dari situ, entah macam mana Imran boleh sedar yang dia berada disitu. Silap dia juga, kalau sudah tahu Imran berada disitu, kenapa perlu terjenguk-jenguk lagi. Hmm!
“Tugasan dah siap?” soal Imran. Suraya menggelengkan kepalanya.
“Nak saya tolong?” Imran menghulurkan bantuan. Suraya terpaku seketika. Apa dia sedang bermimpi agaknya. Tak mungkinlah....
“Saya nak buktikan pada awak yang saya bukan keras seperti tiang, saya juga punya perasaan dan tidak seperti patung, dan saya mahu awak malihat wajah saya seperti Imran dan bukan seperti singa.”
Suraya memandang wajah Imran dengan senyuman yang meleret-leret. Kalau dulu, sentiasa angin puting beliung menjengah saat melihat wajah lelaki itu namun, perasaan itu berubah apabila dia mengenali lelaki itu dengan lebih dekat lagi. Kejadian sesat dihutan bersama lelaki yang membawa gelaran singa, memberi hikmah yang besar padanya. Tanpa pangalaman itu, dia pasti tidak akan sedar bahawa selama ini dia silap menilai lelaki yang bernama Imran. Menilai sesorang bukanlah menilai daripada luaran samata-mata. Sebaliknya perlu mengenali hati budinya terlebih dahulu.
“Awak fikir apa?” Imran menyoal. Suraya diam lalu memandang tepat ke wajah Imran. Wajah Imran tenang seperti biasa. Melihat ketenangan yang dipamerkan membuatkan hati Suraya menjadi sejuk. Sedingin salju di banjaran Himalaya.
“Maafkan saya dan terima kasih kerana menjaga saya dengan baik semasa kita di hutan tempoh hari.” Ujar Suraya dengan lembut. Imran tersenyum. Jauh disudut hatinya, dia merasa amat bahagia. Satu-satunya gadis di dalam kampus yang dulunya cukup membenci dirinya kini memahami dirinya sebenar. Itulah hikmah yang diturunkan oleh ALLAH.  Dalam diam, Imran memanjat kesyukuran. Sekeras-keras hati Suraya ada juga lembutnya.
“Sejuk hati saya dengar suara lembut awak, tak adalah selama ni, memang tau nak menengking je.”
Ketawa Suraya pecah. Apapun, dia gembira mengenali Imran dengan lebih mendalam. Lelaki itu tidaklah seteruk mana. Suraya bermonolog lagi.
                                                -TAMAT-
                       

No comments:

Post a Comment