:: DIA DI HATI ::



Waktu berlalu dengan pantas, menampakkan wajah kenangan pada sisi-sisi waktu yang terkadang melekakan perasaan. Hati yang merasa seakan di himpit pilu pada cerita yang tidak pernah terpadam di buku perasaan. Walau hanya sekadar sebuah cerita, tetapi pada dunia yang nyata ia bagaikan duri pada diri. Menusuk pada jiwa. Rasa yang ditatang, walaupun tidak mempunyai sebarang kemanisan, tetap dijunjung seru pada jiwa yang terdalam. Hanya selapis cinta sudah cukup membuatkan hati seorang gadis teguh berpegang pada janji lama yang tidak pernah terpadam. Namun pelik. Cinta yang dimaksudkan bukanlah perasaan kasih yang membawa kepada mabuk rindu atau deraan jiwa yang mengakibatkan penyakit angau, tetapi cinta yang dimaksudkan terlalu sukar ditafsir sehingga perasaan itu terbiar sepi di pesisir hati. Oh hati...
 Safiah membuang keluhan yang maha berat. Sekian waktu yang berlalu sentiasa memberi laluan pada dirinya untuk mengulang tayang sandiwara indah yang pernah bermain mesra dalam hidupnya. Sehinggakan dirinya merasakan ada rindu yang tertanam pada lubuk hatinya yang terdalam. Tafsiran rindu itu pastinya bukan atas desakan cinta, kerana cinta tidak pernah wujud sama sekali. Tetapi mengapa hati ini sentiasa merindu? Detik hati kecil Safiah. Makin difikirkan, makin hati ini bertambah gelisah. Umpama fenomena puting beliung yang memutarkan arus perasaannya. Begitulah keadaannya.
Angin pagi bertiup lembut. Dingin dan menyegarkan. Haruman rumput yang baru dipotong menusuk tajam ke hidung. Safiah memandang keluar kelas. Anak matanya mendarat pada suatu kawasan lapang di hujung tempat parkir kereta. Terang pandangan matanya. Sebelum ini, kawasan itu dipenuhi dengan semak samun. Sungguh mencacatkan pandangan. Tetapi semalam tukang kebun menjalankan operasinya. Habis rumput-rumput yang tinggi lampai itu tunduk kelantai bumi. Dengar khabar, kawasan itu nanti akan diusahakan menjadi tapak rumah hijau. Suatu usaha yang murni. Mudah-mudahan usaha guru-guru sains yang terlibat akan berjaya. Biar pelajar dapat berlajar bercucuk tanam. Kenal apa itu tanah dan sebagainya.
“Cikgu!”
Safiah menoleh kearah suara yang memangil. Jiwanya bergetar lagi. Getaran itu membawa kepada tindakan yang kelam kabut. Huh! Tak senonohnya aku ni!
“Emm... Iya Firdaus, aaaa... ada masalah ke?” Soal Safiah gugup. Firdaus berdiri ditepi mejanya. Bibirnya mengumtum sebuah senyuman manis. Safiah jadi tidak senang duduk tatkala matanya memandang wajah anak kecil itu. Dan senyuman itu melemahkan segala sendi-sendinya. Pelbagai jenis rasa yang datang. Semuanya teradun bersama. Oleh sebab itulah Safiah jadi tidak tentu arah.
“Saya tak boleh buat soalan no 6 ni Cikgu, susah,” ujar anak kecil yang bernama Firdaus itu. Matanya terkelip-kelip apabila Safiah diam tanpa berkata apa-apa. Seperti disihir. Lima saat berlalu. Safiah tetap tidak berkelip memandang wajah Firdaus. Sahlah Safiah kena sihir. Tetapi bukan kerana mentera sihir tetapi kerana Firdaus. Ya, Firdaus.
“Cikgu tak apa-apa ke?” soal Firdaus berbaur hairan.
“Emmm.. tak ada apa-apa, soalan no 6 ya?” Safiah malu sendiri. Wajah malu sedaya upaya di neutralkan dengan senyuman. Entah ikhlas entah tidak. Safiah saja yang tahu.
Firdaus mengangguk. Buku latihannya diletakkan di atas meja sambil tangan kanannya memegang erat batang pensel. Matanya seperti biasa. Terkelip-kelip. Sesekali anak kecil itu mengosok-gosok matanya dengan hujung jari. Selalunya, Safiah pasti akan menegur kerana dia tidak suka pelajarnya mengosok mata mengunakan jari. Tetapi mulutnya menjadi bisu. Segala kata-kata menjadi beku.
Safiah menarik nafas dalam-dalam. Soal hati harus... eh bukan, wajib diketepikan dahulu. Tanggungjawab harus diutamakan.
“Pertama, jangan kamu gosok mata kamu mengunakan jari Firdaus, sebab jari kita banyak kuman. Bila kita gosok mata mengunakan jari, maka kuman-kuman tersebut akan berpindah kepada mata kita.” Ujar Safiah lembut. Mata Firdaus terkelip-kelip lagi. Sejurus itu, Firdaus mengangguk faham.
“Papa selalu cakap macam tu,” Firdaus menjawab mesra. Senyuman manis terukir di bibir mugil milik Firdaus menampakkan segumpal tisu pipi yang pasti membuatkan hati bagai digaru untuk mencubit kedua-dua belah pipi yang tembam milik Firdaus. Anak kecil yang comel serta petah berkata-kata. Dalam diam Safiah merenung dalam anak mata bundar Firdaus. Terdetik rasa pilu yang menggunung. Entah mengapa perasaan itu datang bagaikan hujan rintis yang pastinya menbasahi lantai hatinya. Wajah Firdaus saling tak tumpah dengan wajah pemuda itu. Mereka seperti dua insan yang sama.
Firdaus Bin Iskandar....
Anak kecil ini anak Iskandar? Hati kecil Safiah menduga. Senyuman dibibir terasa hambar. Safiah mengambil buku latihan dari tangan Firdaus.
“Kat sekolah lama, Firdaus belum belajar bab ni ek?” soal Safiah dengan mesra. Firdaus menggeleng perlahan. Bibir Safiah muncung kedepan. Fahamlah dia kini, mengapa Firdaus sukar menyelesaikan latihan matematik yang diberikan. Apatah lagi Firdaus baru mendaftar kesekolah ini dan kemungkinan bab yang diajarnya belum lagi diajar di sekolah lama Firdaus. Kemungkinan besar begitu.
“Firdaus duduk dulu, nanti cikgu ke meja Firdaus ya,” tambah Safiah lagi. Firdaus berlalu dengan senyuman. Anak kecil itu murah dengan senyuman. Puji Safiah dalam diam. Wajah sekelian pelajar yang sedang khusyuk membuat latihan membuatkan hati Safiah berbunga-bunga. Ketekunan yang ditunjukkan oleh pelajarnya membuatkan Safiah semakin bersemangat. Mengerakkan lagi nadinya untuk terus mendidik anak bangsa. Sekalipun azamnya ringkas namun menuntut tanggungjawab yang besar untuk ditunaikan.
Loceng berdering secara tiba-tiba. Pandangan Safiah terarah kepada wajah Firdaus yang agak muram ketika loceng berbunyi. Hampa benar Firdaus. Safiah tersenyum dalam hati. Bangga dengan kesungguhan Firdaus. Itulah yang dia mahu.
“Terima kasih Cikgu.” Catuan suara itu mewujudkan satu frekuensi bunyi yang agak tinggi. Apatah lagi dari semua sudut mewujudkan frekuensi bunyi yang sama dan bunyi itu seakan-akan sedang beradu tenaga untuk menunjukkan kehebatan masing-masing. Fenomena normal itu kadang-kadang memberikan ganguan kepada kelas-kelas yang sedang berlangsung. Namun, kebanyakkan guru sudah lali mendengar bunyi bising tersebut. Itulah kemeriahan yang amat jarang sekali diperolehi dimana-mana tempat.
Safiah menyusun buku satu persatu. Janjinya pada Firdaus membuatkan kakinya menyusun langkah ke meja Firdaus.
“Firdaus jangan susah hati, nanti waktu rehat Firdaus jumpa cikgu kat bilik guru.” Ujar Safiah sebaik sahaja dia menghampiri meja Firdaus. Mata anak kecil itu terkelip-kelip, seperti dia sedang terfikirkan sesuatu.
“Emm... Meja Cikgu kat tepi pintu masuk, Cikgu tunggu tau.”
Firdaus tersenyum. “Cikgu ni tahu-tahu aje apa yang saya fikirkan.”
Senyuman Safiah melebar. Hatinya berbunga-bunga. Jiwanya begitu tenang menyambut senyuman Firdaus. Atau mungkin kerana wajah disebalik senyuman itu yang membuatkan hatinya tidak keruan? Safiah jadi keliru, namun yang berada di depan matanya adalah seorang anak kecil yang bernama Firdaus. Wajah itu benar-benar mirip lelaki itu....
Huh! Tak habis-habis!
                                    #          #          #          #          #          #          #          #
            Sudah dua hari Firdaus tidak hadir kesekolah. Selama dua hari jugalah hati Safiah bagai digaru-garu. Resah tidak menentu. Apa sahaja yang dilakukannya serba tak kena. Entah sejak bila Safiah merasakan kehadiran Firdaus dalam hidupnya begitu bererti sekali. Dan kehilangan Firdaus sekaligus meragut segala ketenangan yang ada dalam dirinya. Dengan perasaan yang tidak menentu Safiah melangkah keluar dari kelas 3 Sentosa. Perasaannya jadi hampa apabila wajah anak kecil yang sering membuatkan hatinya berbunga-bunga tiba-tiba hilang dari pandangan mata Safiah.
Pandangan mata Safiah terjurus kepada satu arah. Tepat ke arah tempat parkir kereta. Langkah Safiah terhenti. Denyut jantungnya bertambah dari kadar biasa. Kedinginan mula terasa dihujung jari. Buat seketika Safiah hilang dari dunia nyata. Perasaannya melayang bagai ditiup angin. Persis dedaunan kering yang gugur menyembah kelantai bumi. Pelik. Sungguh Safiah tidak mengerti akan perasaan yang menyelit ke relung hatinya. Perasaan itu amat aneh sekali. Dengan hanya tiga langkah, Safiah menyembunyikan dirinya disebalik tiang yang cukup membuatkan dirinya terlindung daripada pandangan lelaki itu. Sepatutnya dia harus pergi kepada lelaki tersebut dan menyapa lelaki itu dengan mesra tanpa berasa takut dan malu. Namun sudahnya, Safiah membiarkan anak matanya sahaja yang mengekori lelaki tersebut. Sedangkan dirinya terus membatu disebalik tiang yang secara tidak rasminya menjadi tembok pendinding diri.
“Eh kau buat apa kat sini?” sergah satu suara yang lembut namun cukup membuatkan Safiah terperanjat. Dengan wajah yang berbaur, Safiah cuba tersenyum. Biarpun kelat namun cukup bagi menutup kecelaruan wajahnya.
“Emm, tak ada apa-apalah Mila,” jawab Safiah ringkas. Hanya sebaris ayat itu sahaja yang mampu difikirkan pada waktu itu. Mana lain hilang entah kemana. Secara umumnya, Safiah memang tidak pandai berbohong. Andai kata terpaksa, hanya dialog itu sahaja yang mampu terucap.
“Yang kau terhendap-hendap dari tadi tu kenapa pulak?” soal Karmila lagi. Jelas sungguh dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Safiah.
“Tak ada apa-apalah Mila, aku ada kelas ni, lagipun aku dah lambat ni. Aku pergi dulu.” Ujar Safiah laju. Dengan sepantas angin, Safiah berlalu meningalkan Karmila yang masih termanggu-manggu sendiri.
“Dia ni memang misteri.” Karmila mengomel sendiri. Dengan anak matanya sendiri, dia melihat Safiah terhendap-hendap disebalik tiang. Sepertinya pandangan Safiah menghala ke arah tempat parkir kereta. Pasti ada sesuatu yang menarik pandangan Safiah. Pasti ada. Tetapi siapa? Karmila tersenyum sendiri. Senyuman yang pasti ada makna.
Loceng waktu rehat berdering kencang. Dengan suasana yang tidak pernah berubah, pelajar bergegas menuju ke satu destinasi. Cepat dan pantas. Masa itu tisu kata ahli saintis. Perut yang berkeroncong harus diisi. Selepas di isi, rutin biasa diteruskan. Main sepuas hati. Biarlah peluh terus menitis membasahi baju namun kegirangan yang meluap-luap membuatkan mereka terlupa akan keadaan diri.
Disuatu sudut di bilik guru, Safiah mematikan diri dengan memeriksa buku-buku pelajar. Dalam fikirannya tiada yang lain melainkan tertumpu pada paksi hatinya yang penuh dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab. Berkali-kali anak matanya melirik kepada meja Cikgu Syakila. Pasti wanita itu mempunyai keseluruhan jawapan pada setiap pertanyaan yang semakin mengunung di benak Safiah. Daripada dia terus berteka teki seorang diri, ada baiknya dia terus bertanya kepada guru muda itu. Suatu keputusan yang dianggap paling bijak oleh Safiah.
Safiah terus melangkah dengan yakin. Hala tuju matanya terus ke arah Cikgu Syakila.
“Assalamualikum Cikgu Syakila,” sapa Safiah sopan.
“Wa’alaikumsalam,” guru muda itu menjawab salam Safiah dengan mesra. Hati Safiah seperti dijirus dengan air sejuk. Barangkali sesejuk air di pengunungan Himalaya. Begitulah firasat Safiah, berusaha memujuk hatinya sendiri.
“Cikgu pasti tahu mengapa Firdaus tidak hadir ke sekolah beberapa hari ni bukan?” soal Safiah tanpa berlengah. Sudah tidak terfikir oleh Safiah untuk berbicara soal lain kerana dalam hatinya pada ketika itu hanya ada satu nama. Firdaus. Apatah lagi, perasaan ingin tahu  semakin mengunung apabila sah-sah Firdaus adalah anak kepada Iskandar. Safiah yakin akan kenyataan itu. Benar perkara itu belum disahkan tapi Safiah yakin. Kedatangan Iskandar kesekolah ini pasti kerana Firdaus!
Safiah terus menanti dalam sabar. Agak lama Cikgu Syakila terdiam. Sukar benar untuk menjawab soalan itu. Katakan sahaja. Tidak perlu berfikir panjang. Namun Safiah terus menanti dengan sabar. Sabar-sabar.
“Cikgu tanya pasal Firdaus bin Iskandar?” soal Cikgu Syakila sambil memandang Safiah. Safiah mengangguk. Kening Cikgu Syakila berkerut. Lantas tangannya mengambil sehelai kertas kecil dari buku kedatangan pelajar lalu dihulurkan kertas tersebut kepada Safiah. Safiah menyambut kertas itu dengan rasa penuh berdebar. Catatan pada kertas itu dibaca dengan teliti dan laju. Ya Allah! Firdaus.
“Tadi ayah Firdaus yang hantar surat cuti sakit ni, katanya Firdaus kemalangan.”
Safiah kaku seketika. Perkhabaran itu membuatkan Safiah pergi meninggalkan meja Cikgu Syakila begitu sahaja. Safiah kehilangan kata-kata. Jiwanya terasa melayang. Kalau di ikutkan hati dia ingin berlari, berlari untuk melihat wajah Firdaus. Meredah segala apa yang ada dihadapannya. Biar apa yang di lakukan kali ini berdasarkan gerak hatinya. Kalau sembilan tahun yang lalu dia tunduk dan melakukan segalanya hanya kerana terpaksa sedangkan hatinya berat untuk merelakan, kali ini tidak! Tuhan telah memberikan dirinya peluang kedua. Dan peluang itu tidak datang selalu untuk dirinya.
Safiah menjenguk ke bilik Guru Besar. Pintu bilik itu tertutup rapat. Besar harapan Safiah agar Guru Besar berada dalam biliknya. Doa dipanjatkan. Harapan kian mengunung saat telinga Safiah menangkap suara Guru Besar yang sedang berbual dengan seseorang. Dengan siapa, Safiah kurang pasti. Sekurang-kurangnya hati Safiah lega kerana Guru Besar berada dalam biliknya. Mata Safiah memandang ke arah jam dinding. Waktu rehat hampir tamat. Perasaan Safiah menjadi kacau. Dia ada kelas selepas rehat. Keadaan itu jelas menghancurkan harapannya untuk  berjumpa dengan Guru Besar. Loceng disudut kanan bangunan pentadbiran berbunyi megah. Mendabik dada kerana kenyaringan suaranya. Sedikit pun tidak memberi simpati pada diri Safiah yang begitu mengharapkan masa berlalu dengan perlahan. Sayup-sayup kalimah masa adalah tisu daripada salah seorang pensyarahnya, melemahkan sendi-sendi Safiah. Safiah jadi malas untuk masuk ke kelas. Tidak seperti selalu. Lima minit sebelum loceng rehat berbunyi, Safiah sudah bersedia menyusun buku-buku untuk masuk ke kelas seterusnya.
Dengan langkah yang lemah, Safiah menuju ke mejanya. Buku matematik tahun enam diambil dari rak kecil disudut kiri mejanya. Begitu juga buku latihan pelajar yang sudah disemak. Segera diletakkan diatas buku matematik yang diambil dari rak tadi. Safiah mengangkat buku-buku itu lalu diatur kemas-kemas dalam pegangannya. Dengan wajah yang hampa, Safiah memandang ke arah bilik Guru Besar. Pintu bilik itu masih tertutup. Sekali lagi rasa hampa menyelinap ke seluruh ruang hati Safiah. Ingin rasanya Safiah mengetuk pintu itu dan terus menyampaikan hasrat hatinya kepada Guru Besar tersebut. Namun hasrat itu bagaikan terkurung dalam sangkar hatinya. Perlakuan itu samalah dengan biadap. Sekalipun jiwa dihantui rasa seksa yang mendalam, dia tidak seharusnya bertindak sedemikian. Apa yang harus dilakukan sekarang adalah, bertenang. Firdaus tak akan apa-apa. Firdaus kuat. Kuat seperti dirinya. Cekal dalam menempuh apa pun. Dalam diam Safiah menanam keyakinan dalam dirinya sebagai usaha untuk memujuk dirinya sendiri. Kata-kata hati yang berbisik halus segera diusir dengan kalimah-kalimah zikirullah sekaligus meniupkan segugus ketenangan dalam nuraninya.
Safiah menarik nafas dalam-dalam. Entah bagaimana, sebutir mutiara termahal keluar dari pelupuk matanya. Sekian lama, mutiara mahal itu bertapa dalam ruang hatinya yang terdalam. Bagaikan suatu kekebalan yang selalu membuatkan Safiah jauh dari realiti hidupnya. Dan kerana Firdaus, Safiah mulai sedar bahawa dirinya tak akan mampu lagi menahan kekebalan yang lahir dari sifat degil dan egonya.
“Ibu sayang Firdaus lebih dari segalanya!” Safiah berkata dalam diam. Terang dan tegas. Dengan kata-kata itu, mutiara mahal itu gugur lagi. Sepantas kilat Safiah menyeka air mata yang mula membasahi pipinya. Dengan langkah yang teratur, Safiah menuju ke pintu bilik guru untuk ke kelas tahun enam. Guru... kau ibarat lilin. Kata-kata keramat itu bergema di cuping telinganya. Langkah Safiah semakin laju. Dia ingin segera sampai ke kelas. Dia ingin segera mendidik anak bangsa. Dia ingin segera mencurahkan ilmu yang ada dalam dadanya demi anak bangsa. Dengan senyuman, dia akan terus memujuk hati pelajar-pelajarnya manja dengan ilmu. Itu harapannya!
                        #          #          #          #          #          #          #          #
“Iya Puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” soal seorang jururawat muda yang sedang tersenyum mesra menyambut kedatangan Safiah. Dalam kepayahan Safiah cuba mengukir senyuman semanisnya. Berada dalam situasi sebegini, agar sukar Safiah untuk memotivasikan dirinya untuk bertenang lagi. Namun, senyuman ikhlas yang terukir di bibir Safiah sudah cukup membuatkan jururawat muda itu memahami keadaan diri Safiah. Berkerja di hospital yang berhadapan dengan pelbagai situasi yang terlalu dekat dengan kematian membuatkan jururawat muda itu terlatih dengan emosi masyarakat yang pastinya kurang stabil untuk berada dalam posisi normal.
“Saya nak tahu wad Firdaus Bin Iskandar.” Jawab Safiah. Air mukanya jelas menampakkan kekacauan dalam hatinya. Namun jururawat muda itu tetap tenang dan segera menaip nama yang disebut oleh Safiah. Tidak sampai seminit, jururawat muda itu memandang wajah Safiah.
“Wad Rawatan Rapi, bilik no 301. Pesakit itu sudah koma selama tiga hari Puan,” jelas jururawat muda itu. Safiah bagai tersihir dengan kata-kata jururawat muda itu. Sekali lagi, Safiah merasakan jiwanya seakan-akan melayang. Langsung tak jejak ke bumi.
“Puan ni, siapa? Ahli keluarganya?” soal jururawat muda itu lagi. Safiah memandang wanita itu tanpa berkedip. Safiah kehilangan kata-kata.
“Saya guru di sekolahnya.” Jawab Safiah ringkas. Pasti akan menjadi suatu perkara yang mengelirukan jika Safiah memberitahu bahawa dirinya adalah ibu kepada Firdaus. Untuk tidak merosakkan keadaan, hanya jawapan itu yang paling sesuai.
“Wad Rawatan Rapi berada di tingkat tiga.” Terang jururawat muda itu. Safiah memandang ke arah tanda nama di sebelah kiri baju uniform jururawat itu. Tertulis perkataan - Anita.
“Terima kasih Cik Anita,” ujar Safiah lalu meninggalkan kaunter pertanyaan.
Segera dia menuju ke arah lif. Sampai ke angka tiga. Pintu lif itu terbuka secara automatik. Di depan pintu lif, Safiah terpaku seketika apabila wajah Iskandar tiba-tiba muncul depan pintu lif. Safiah melangkah keluar dari lif dengan penuh debar. Namun dia cuba berlagak tenang. Tenang seperti air di kali. Tumpuannya cuma satu – Firdaus. Selain daripada perkara Firdaus, Safiah tak mahu tahu dan tak akan ambil tahu. Tanpa kata-kata, Safiah mencari bilik no 301. Iskandar hanya membiarkan Safiah terus mencari. Sampai pada bilik yang terletak dihujung, tertera angka 301 di depan pintu. Safiah kaku lagi. Berfikir sama ada dia layak untuk masuk menjenguk Firdaus. Seperti tahu apa yang berada dalam fikiran Safiah, Iskandar memulas tombol pintu. Daun pintu terbuka. Seorang wanita bertudung selendang sedang duduk sambil memegang jari jemari Firdaus yang sedang terbaring kaku. Serta merta wanita itu menoleh. Wajah wanita itu begitu asing pada Safiah namun dalam hati, Safiah sedar wanita itu adalah isteri Iskandar. Secalit rasa cemburu menusuk ketangkai hati Safiah. Wanita itu cantik. Secantik bidadari. Secocok untuk Iskandar.
Wanita itu angkat lalu berdiri disebelah Iskandar. Mata Safiah sempat menangkap pemandangan pegangan tangan wanita itu dengan Iskandar. Begitu erat dan kukuh. Pandangan itu menyakitkan hati Safiah. Meruntuhkan segala rasa hatinya yang selama ini cuba di usir jauh. Safiah sedar akan kedudukan dirinya di hati Iskandar. Iskandar mengizinkan dirinya untuk melihat Firdaus sudah dikira bersyukur. Sudah dikira kurniaan yang tidak ternilai dari erti perikemanusiaan yang entah dari mana Iskandar perolehinya. Masih terasa sakit dipipi kanan Safiah akibat tamparan membuta tuli Iskandar. Segalanya bagaikan duri dalam hati Safiah. Biarlah Firdaus yang menjadi penawar. Wajah pucat Firdaus ditenung dalam-dalam. Perlahan-lahan air mata Safiah mengalir. Kali ini laju sahaja air mata itu mengalir. Sukar bagi Safiah untuk menyekat air mata itu dari terus mengalir kerana hatinya terlalu sayu melihat Firdaus yang sedang bertarung menahan kesakitan. Apatah lagi dengan rindu yang terlalu mendalam. Sekaligus membuatkan hati Safiah lemah. Lemah mengenangkan nasib malang yang mengiringi perjalanan hidupnya. Lemah mengenangkan masa silamnya yang begitu menyeksa jiwa. Lemah memandang wajah Firdaus yang pastinya tidak mengenali siapa dirinya yang sebenarnya. Air mata Safiah jatuh lagi. Dalam sepi Safiah menahan esak tangisnya. Namun samakin cuba ditahan semakin deras air matanya mengalir. Safiah bingkas bangun lalu keluar dari bilik itu. Dihujung koridor Safiah menghemburkan air mata sepuas-sepuasnya. Terhinjut-hinjut bahunya menahan tangis.
“Safiah....” panggil satu suara.
Safiah menoleh. Sisa air mata diseka dengan tisu.
“Aku bukan nak halau kau, tapi aku rasa kau tak patut berada di sini Safiah. Aku yakin Firdaus tak perlukan kau. Firdaus dah ada mama yang menyayangi dia. Hidup kami sempurna Safiah,” jelas Iskandar dengan nada yang mendatar. Wajah Iskandar selamba.
Kata-kata Iskandar bagai satu renjatan elektrik yang bisa melumpuhkan segala sendi dan urat saraf. Safiah menarik nafas dalam-dalam. Kata-kata Iskandar ditelan jauh kedalam lubuk hatinya. Harap dihati kata-kata itu hancur lalu menjadi debu. Safiah memandang jauh kedalam anak mata Iskandar. Lelaki itu buta. Cukup buta untuk menilai apa yang ada di depan matanya. Entah dimana sukarnya untuk lelaki itu untuk melihat segala kebenaran yang sekian lama tersembunyi.
Safiah diam membatu. Dia lalu duduk di kerusi yang sedia ada di koridor. Suasana koridor yang tidak ramai orang membuatkan Safiah berasa agak selesa namun selagi Iskandar berada dihadapannya, dada Safiah terasa bagai ditekan. Sesak. Apatah lagi lelaki itu adalah suami orang. Iskandar memandang wajahnya dengan serius. Safiah menoleh ke tepi.
“Ada baiknya kau pulang Safiah.” Ujar Iskandar untuk kedua kalinya. Kali ini suara itu keras. Safiah melawan dalam diam. Sesungguhnya lelaki itu langsung tidak ada hak untuk menghalau dirinya!
“Kau siapa nak halau aku?” soal Safiah setelah sekian lama mendiamkan diri. Wajah Iskandar merah menahan geram. Kesabaran Iskandar benar-benar teruji dengan kata-kata Safiah. Dengan segala kekusutan yang melingkari fikiran Iskandar, tentu sahaja kesabarannya cuma senipis kulit bawang. Bagi Safiah, memang tidak terduga dia akan menyoal soalan itu kepada Iskandar. Kalau dulu, kepalanya dipijak-pijak sampaikan dia terpaksa melepaskan Firdaus kepada keluarga lelaki itu. Mungkin iu tindakan terbodoh yang pernah dia lakukan tetapi setelah dikurniakan dengan ketabahan yang tinggi, Safiah nekad untuk berjuang demi Firdaus.
“Abang!” suara wanita yang berselendang itu bergema di koridor. Wajahnya cemas dan tergambar perasaan takut dari riak wajahnya. Sepantas kilat Iskandar masuk semula ke dalam bilik. Safiah mengikut dari belakang, namun di halang keras oleh Iskandar. Safiah tinggal di luar seperti orang asing. Sebentar, sekumpulan jururawat yang diketui doktor berlari-lari anak masuk kedalam bilik Firdaus. Wanita itu dan Iskandar disuruh keluar.
“Sabar sayang, Firdaus tak akan apa-apa,” pujuk Iskandar dengan lembut. Wanita itu memeluk Iskandar dengan erat. Iskandar menyeka air mata wanita itu dengan tangannya. Sungguh mesra. Luluh hati Safiah melihat pemandangan yang sungguh menyeksa batinnya. Mahu sahaja dia terus pergi dari menjadi orang bodoh di situ. Namun hatinya dikuatkan demi Firdaus.
Selang beberapa minit, doktor yang merawat Firdaus keluar. Wajahnya sedikit kusut. Entah apa berita yang hendak disampaikan. Sekali lagi Safiah memujuk hatinya agar terus bersabar.
“Firdaus mengalami komplikasi yang teruk di bahagian buah pinggangnya. Dengan satu sahaja buah pinggang yang tinggal membuatkan Firdaus mungkin tak mampu bertahan lama. Kita sama-sama berharap agar ada penderma buah pinggang yang sesuai dengan Firdaus.”
Tangan Safiah bergetar menahan pilu di hati. Wajah Iskandar ditatap dengan penuh rasa kecewa. Sampai hati Iskandar menyembunyikan perkara itu daripadanya. Walaupun selama ini dia tidak menjaga Firdaus, tetapi sebagai ibu kandung Safiah merasa dia berhak ke atas Firdaus. Tetapi sejauh itu, Iskandar meletakkan kedudukan dirinya dalam hidup Firdaus. Tak ubah seperti orang asing!
Safiah terduduk dikerusi. Walau apa pun yang terjadi, dia rela berkorban demi Firdaus. Firdaus adalah satu-satunya darah dagingnya. Sekalipun dia tak akan biarkan Firdaus begitu sahaja. Safiah menarik nafas dalam-dalam. Iskandar dan isterinya masuk semula kedalam bilik tanpa sedikitpun mempedulikan keadaan dirinya. Tindakan itu walaupun cukup melukakan hati Safiah namun Safiah sedar siapa dirinya. Tanggungjawabnya hanya untuk Firdaus. Selama ini dia bangun melawan kegagalan hidup hanya kerana Firdaus. Belajar sampai berjaya mendapat ijazah semata-semata kerana Safiah mahu Firdaus bangga akan dirinya pada suatu hari nanti. Demi tekad itu juga, Safiah rela berkorban demi Firdaus. Dalam hati, panjang doa Safiah agar buah pinggangnya sesuai untuk Firdaus. Safiah bangun lalu menuju ke bilik doktor. Perlahan-lahan air matanya jatuh. Rindunya pada Firdaus belum terlunas sepenuhnya. Janganlah sesuatu yang buruk menimpa Firdaus... dalam diam jiwa Safiah terus merintih.
            #          #          #          #          #          #          #          #          #
Safiah menarik nafas kelelahan. Peluh yang memercik segera diseka dengan tisu. Sejak buah pinggangnya ditukar hak milik kepada Firdaus, Safiah tidak segagah dahulu. Segala pergerakkannya agak terbatas. Banyak aktiviti sekolah terpaksa dilepaskan demi menjaga kesihatannya. Namun hati Safiah lega, sekurang-kurangnya Firdaus terselamat. Safiah melirik ke sebuah meja kosong, tempat duduk itu dulu adalah kepunyaan Firdaus. Namun kini, hanya bayang-bayang Firdaus yang tinggal. Terkadang, Safiah merasa terlalu sedih saat wajah Firdaus singgah ke dalam kotak fikirannya. Hendak diusir, hatinya terlalu merindui wajah anak kecil itu. Sudahnya, kenangan itu terus bermain-main dalam kotak fikirannya.
Loceng berbunyi panjang. Tanda waktu persekolahan telah tamat. Pelajar-pelajarnya sejak tadi sudah seperti cacing kepanasan. Tak sabar-sabar menanti bunyi loceng terakhir itu berbunyi. Bagi Safiah, ada dua jenis bunyi loceng yang digemari palajar. Yakni bunyi loceng menandakan waktu rehat dan bunyi loceng menandakan waktu balik. Walaupun bunyinya hanya mendatar namun bagi pelajar, bunyi itu adalah bunyi keramat. Mengerti akan situasi pelajarnya seperti cacing yang kepanasan, Safiah mengangkat beg tangan dan buku-buku dan dengan lantang....
“Terima kasih semua.”
Dengan wajah yang cukup gembira, pelajar-pelajarnya berdiri lalu “Terima kasih Cikgu.....”
Langkah dimulai dengan perlahan, namun sebaik sahaja kaki melangkah keluar pintu kelas, bagai angin mereka berlari. Situasi itu biasa pada Safiah. Sudah berulang kali dia memberi nasihat agar jangan berlari di koridor kelas. Tetapi fenomena itu tetap berlaku. Safiah membiarkan semua pelajar keluar dahulu. Sebenarnya, Safiah malas hendak bersesak-sesak dengan pelajar yang pulang. Biarlah keadaan agak lenggang sedikit barulah Safiah bergerak ke bilik guru. Perjalanan untuk ke bilik guru tidaklah jauh, hanya beberapa meter. Sampai di mejanya, Safiah duduk seketika sambil meneguk air suam untuk membasahkan tekak. Keadaan dibilik guru juga sudah agak lengang. Ramai para guru telah pulang. Hanya tinggal beberapa orang guru yang masih sibuk dengan tugas-tugas yang masih belum selesai. Safiah menyusun mejanya yang agak bersepah. Sebuah sampul surat yang berbunga-bunga terselit diantara buku-buku. Safiah kehairanan. Entah dari mana datangnya surat tersebut. Dengan pantas Safiah membuka. Bulat mata Safiah membaca sebaris ayat yang tertulis. Dengan pantas juga mata Safiah memandang ke luar.
Kita jumpa ditempat biasa, aku tunggu kau.......
                                                                                                                        -Iskandar-
Tempat biasa? Safiah jadi hairan. Masih ingat juga Iskandar pada tempat yang penuh dengan kenangan itu. Namun, untuk apa lelaki itu menemuinya. Belum puas agaknya lelaki itu memarahinya. Hutang-hutang lama mana mungkin dapat terbayar, entah apa yang belum selesai. Selama ini pun dia tidak pernah menuntut haknya sebagai ibu kepada Firdaus, habis tu apa lagi yang belum selesai? fikir Safiah. Jika benar, apa yang harus dia lakukan. Safiah jadi bingung. Buku-buku diatas meja segera disusun dengan kemas. Sekilas Safiah memandang kearah jam dinding. Teringat Safiah akan dirinya yang belum mengerjakan solat Zohor. Selesai sahaja mengemas buku, Safiah mengambil bakul plastik yang berisi kain telekung. Tangungjawab yang satu ini tidak boleh dilengah-lengahkan. Dengan tenang Safiah melangkah ke arah surau guru yang terletak tidak jauh dari bilik guru. Dalam hatinya terus-terusan berdoa agar hatinya tenang dan bersabar.
Dengan gerak pantas Safiah menuju ke tempat yang di janjikan. Kuat hatinya ingin mengetahui apa sebenarnya yang menyebabkan Iskandar ingin menemuinya. Dari jauh mata Safiah melihat kelibat Iskandar yang sedang duduk tanpa ada sesiapa di sisinya. Fikir Safiah, isteri Iskandar pasti ada bersama-sama.
“Kau datang juga ya.” Ujar iskandar memulakan bicara. Safiah diam membatu. Sukar untuk Safiah menjawab, kerana bagi Safiah kata-kata Iskandar begitu dalam maksudnya.
Anak mata Iskandar merenung ke anak mata Safiah. Renungan itu tidak seperti selalu. Yang begitu tajam dan menakutkan. Dan renungan kali ini adalah renungan yang biasa dilihat Safiah pada suatu ketika dahulu. Di saat bahagia masih dalam gengaman.
Safiah hanya tunduk. Takut untuk bertentang mata. Suasana sepi dan hanya kicau burung yang kedengaran. Bunyi nafas Iskandar jelas menyentuh gegendang telinga Safiah.
“Maafkan aku, aku tak tahu perkara yang sebenarnya yang berlaku. Maafkan aku Safiah.” Bergetar nada Iskandar menuturkan ayat-ayat itu. Seperti ada suatu kesalan yang maha hebat menerpa ke dalam jiwa Iskandar.
Safiah kaku. Buat kali pertama dalam hidupnya, Iskandar menitiskan air mata.
“Aku tak tahu yang mama sengaja memisahkan kita. Aku tak tahu yang kau terpaksa berpisah dengan Firdaus. Aku terlalu lalai Safiah. Maafkan aku Safiah, maafkan aku...” sekali lagi Iskandar merayu. Penuh sayu dan memilukan. Iskandar menatap wajah lembut Safiah. Sudah berapa kali dia berkasar dengan wanita itu. Sudah berapa kali dia melanggar janji-janjinya pada wanita itu. Sudah berapa kali hati wanita itu terhiris dan entah masih adakah ruang kemaafan untuk dirinya dari wanita itu. Air mata Iskandar jatuh.
Safiah merenung jauh ke langit biru. Kenangan sembilan tahun lalu menerpa kembali. Segera dijauhi namun kenangan itu tetap singgah ke mindanya.
“Kau memang tak layak jadi menantu aku! Perempuan miskin! Hei anak aku tu berpelajaran tinggi, kau tu apa yang kau ada ha?! Perempuan kampung! Aku nak lepas kau bersalin, kau berambus dari rumah aku ni, sebelum tu kau tandatangan surat cerai ni!”
Kata-kata itu terngiang-ngiang di cuping telinga Safiah. Namun hati yang tenang meredhakan segala apa yang telah terjadi. Dia sendiri yang tidak kuat melawan semua dugaan itu. Hanya kerana dia terlalu lapar dan terlalu haus setelah berhari-hari tidak diberi makan dan minum. Apatah lagi di saat dia sarat mengandungkan Firdaus. Entah dengan kuasa apa dia menandatangani satu surat yang dia sendiri kurang pasti akan isinya. Safiah menarik nafas dalam-dalam. Terlalu perit untuk dikenang sagala yang telah berlaku. Cukuplah kenangan itu bersemadi dalam hatinya selama ini. Tibalah waktunya kenangan itu pergi jauh dari hidupnya dan dia redha memaafkan bekas mak mentuanya.
“Abang Is, Safiah langsung tak berniat untuk menderhaka pada abang. Safiah redha dengan segala yang telah berlaku.” Ujar Safiah pendek. Setitis air matanya gugur membasahi pipi. Safiah mengusap perlahan pipinya. Iskandar menghampiri Safiah. Pantas jari jemari kasar itu cuba untuk mengusap air mata Safiah. Safiah mengelak. Iskandar hanya tertunduk apabila menyedari keterlanjuran dirinya.
Safiah memandang ke sekeliling. Tempat itu sunyi dan jauh dari pandangan mata orang. Hati Safiah jadi tak sedap. Iskandar suami orang, sedangkan dia seorang guru yang perlu menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat. Sekali orang mengata, pasti sukar untuk menghentikan.
“Safiah sayangkan Firdaus, sangat sayangkan Firdaus. Demi Firdaus, Safiah rela berkorban. Cukup Firdaus tahu siapa ibu yang melahirkannya. Itu sahaja yang Safiah nak dari abang. Safiah minta diri. Kita tak boleh berdua-duaan macam ni. Safiah pulang dulu. Assalamualaikum.” Safiah membuka langkah yang pantas. Langsung tidak menoleh kebelakang. Air mata Safiah begitu deras mengalir. Entah kenapa dia merasa begitu sedih sekali kerana lelaki itu yang suatu ketika dahulu adalah tempat dia meluahkan perasaan, kini seperti orang asing dalam hidupnya. Inilah hidup. Dan dia sentiasa di hati. Safiah memberhentikan langkahnya. Dia menoleh sekilas kewajah Iskandar yang tertinggal jauh di belakang. Beribu kekesalan terpancar jelas diwajah itu. Biarpun kebenaran telah terbukti, namun segala-galanya telah terlambat.
Gerimis turun secara tiba-tiba. Safiah telah masuk kedalam perut kereta. Dia yakin pasti Iskandar masih terpaku disana. Biarlah. Walau jasad menjauh namun Safiah tahu, hatinya selalu dekat dengan mereka.....
                                                            -TAMAT-

No comments:

Post a Comment