:: KASIH INI ::


            Suasana menjadi hening tanpa sebarang suara. Masing-masing diam membisu seribu bahasa. Lidah terasa kelu untuk terus berbicara namun jauh disudut hati Aliah, terlalu banyak kata-kata yang ingin diluahkannya. Semakin disimpan semakin berat jiwanya memikul semua beban yang menyesakkan dadanya. Apa yang menghalang adalah mindanya yang tidak membenarkan dia meluahkan segala isi hati yang terpendam. Perasaan hatinya tak penting, getus Aliah dalam diam. Biarlah kali ini dia yang beralah. Dalam diam, manik-manik jernih mual menitis. Perlahan-lahan menyelusuri pipi gebunya. Segera Aliah mengesat air matanya. Dia mengumpul semula kekuatan yang mula hilang. Tarasa ada satu aura positif yang mengangkat semangatnya. Hatinnya mula terasa tenang. Jiwanya pasrah. Aliah redha...
            “Aliah...”suara itu bergema di cuping telinga Aliah. Kedudukan telefon bimbit dialihkan ke sebelah telinga kiri. Aliah mencari postur tubuh yang sesuai. Dari keadaan baring terlentang, Aliah kini mengiring kesebelah kanan.
            “Jadi apa keputusan abang?” soal Aliah tenang.
            Keadaan menjadi sepi semula. Aliah menanti dengan tenang. Walaupun pada hakikatnya dia memang menantikan kata-kata azimat yang bisa membuatkan hatinya menjadi lebih tenang. Agar hilang segala pilu yang semakin menusuk-nusuk dihatinya. Hanya kesabaran yang mampu ditadahkan apabila hatinya mula bergelora kencang.
            “Abang buntu, abang tak tau Liah.” Sahut satu suara di hujung talian. Aliah tersenyum tawar. Benarlah apa yang di duga. Kasih itu bukan miliknya lagi. Harapannya mula kian menghilang. Persis debu-debu yang berterbangan di tiup angin lalu menghilang entah kemana. Aliah menarik nafas dalam-dalam.
            ‘Bukan abang tak tahu, tapi abang takut nak menyatakan kehendak hati abang sendiri,’ bisik hati kecil Aliah. Entah dengan kuasa apa, Aliah jadi nekad, jadi pasrah dengan setiap yang berlaku. Kalau itu yang dikehendaki, dia rela....
            “Abang....”
            “Iya Liah.”
            “Aliah redha kalau abang pilih dia.” Bergetar suara Aliah menuturkan kata-kata yang tak pernah terlintas dihatinya mahupun di fikirannya selama ini, tetapi perjuangan berakhir setakat ini.
            “Aliah serius?”
            “Aliah tak akan jadi batu penghalang. Aliah tahu hati abang lebih menyintainya.”
            Dihujung talian kedengaran satu keluhan dilepaskan. Pastinya keluhan itu menandakan betapa berat keputusan yang terpaksa dilakukan kerana perasaan bersalah mula wujud di dalam diri. Semuanya telah berlaku. Aliah menelan air liur. Kelopak matanya terpejam rapat. Sekali lagi dia berusaha mengumpulkan segala kekuatan agar hatinya jadi kuat semula. Jadi tabah.
            “Maafkan abang Aliah.”
            Gelap seketika dunianya. Apa maknanya maaf? Adakah itu bermakna setiap yang diduganya adalah benar? Oh Tuhan..
            “Maaf?”
            “Abang sayangkan dia Aliah.”
            Air mata Aliah jatuh juga akhirnya. Sedaya upaya dia menahan esak tangisnya agar tidak kedengaran. Hati kecilnya menjerit hiba. Dia kecewa dan kekecewaan itu melemahkan hatinya.
            “Aliah doakan abang bahagia. Assalamualaikum.”
            Talian dimatikan. Aliah mengeluh hampa. Bagaikan tidak percaya apabila segalanya berakhir begitu sahaja. Aliah merenung langit siling. Sisa air mata dikesat perlahan. Dirinya terasa melayang seketika. Entah mengapa Aliah merasakan dunia ini bagaikan mimpi. Seperti dia sedang melalui sebuah mimpi yang buruk. Dan apabila menjelang pagi segalanya akan menjadi seperti biasa. Seperti sediakala, seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku.
            Aliah menarik nafas panjang. Segaris senyuman hampa terukir di bibirnya apabila dia menyedari bahawa apa yang dialaminya bukanlah sebuah mimpi dan yang sedang terluka adalah hatinya. Jiwa Aliah pasrah...
            Pandangan kosong dilepaskan ke sebuah potret gambar yang berdiri kaku di atas meja tepi katil. Selalunya, Aliah akan tersenyum bahagia setiap kali matanya terpandang gambar itu, namun perasaan kali ini begitu berbeza dan tidak seperti sebelumnya. Segala kebahagiaan yang pernah ada seolah-olah sedang pergi dengan perlahan-lahan. Sinar kebahagian yang terpancar seakan makin pudar serinya saat sendu di hati semakin mencengkam di kalbu. Sebenarnya Aliah tidak rela melepaskan tetapi hatinya terlalu perit apabila dia sedar, cinta yang selama ini menjadi miliknya kini bukan lagi miliknya. Apa guna dia bermain tarik tali sedangkan dia tahu yang akhirnya dia terpaksa mengaku kalah. Mengalah bukan bererti dia lemah!
            Rupanya inilah kesudahan cerita cinta yang selama ini dipegang teguh oleh Aliah. Sepenuh hati dia meletakkan harapan pada kasih ini. lelaki itu adalah cinta pertamanya. Lelaki itu adalah tunangnya tetapi lelaki itu bukanlah suaminya. Begitu mudah rupanya pencaturan hidup ini. Kasih yang terbina daripada seribu kapayahan tetapi begitu mudah untuk di leraikan. Seolah-olah apa yang berlaku sebelum ini tidak penting dan langsung tidak memberikan kesan.
            “Kau memang kejam Meer,” tutur Aliah dengan nada yang perlahan. Walaupun tiada air mata yang mengalir di pipinya tetapi hatinya begitu sakit menahan keperitan yang begitu menyesakkan jiwanya. Aliah berjalan menuju ke jendela kamar. Segera dia menyelak kain langsir. Tubuhnya didekatkan pada ruang yang kecil itu. Pandangan mata dibuang jauh entah kemana. Entah kemana harus dia mendaratkan pandangan matanya. Segalanya menjadi kosong.
            Selama ini Aliah sedar Azmeer memang banyak berubah. Dan perubahan itu sedikit sebanyak membuatkan dirinya curiga pada Azmeer, namun di sebabkan kepercayaan yang tak pernah luntur membuatkan dia sentiasa mempercayai Azmeer. Apatah lagi Azmeer kini adalah tunangnya dan tak mungkin Azmeer akan berpaling daripadanya. Tetapi ternyata setiap yang dirasainya bertentang dengan nalurinya. Kebenaran tetap akan muncul. Walaupun menyakitkan tetapi itulah hakikatnya.
            Sudah tak ada jodoh, keluh hati Aliah hampa.
            Aliah menarik nafas dalam-dalam. Esok segalanya akan tamat. Apa nak jadi, jadilah. Aliah dah malas untuk berfikir panjang mengenai hal itu. Jiwanya dah pasrah. Aliah memandang sayu kearah jari manisnya. Tatkala itu, bibirnya tersenyum tawar apabila kenangan lalu singgah di lubuk hatinya. Betapa bahagianya Aliah apabila dia sedar bahawa dia telah ditunangkan dengan lelaki yang amat dicintainya. Terasa lapang dada bila dia teringat segala dugaan yang pernah muncul dalam hubungan mereka. Memang indah. Dan yang memilukan, apa yang diharap kini tak lagi indah seperti waktu itu.
            Wajah langit tampak tenang. Aliah sendiri tak faham dengan apa yang berlaku. Rumit. Pengorbanan apa yang sedang dia lakukan pada saat ini. Adakah hatinya ikhlas dalam melakukan pengorbanan itu? Dan mampukah hatinya tabah dalam menghadapi dugaan ini. Ahh.. terlalu banyak persoalan. Biarlah mereka bahagia...
                                                #          #          #          #          #          #
            “Kau dah gila Aliah?”
            Mata bundar milik Zulaikha memandang tepat ke dalam anak mata Aliah. Aliah hanya terdiam membisu. Bagi Aliah tiada apa yang dapat diperkatakan kerana segalanya telah berakhir. Dan Zulaikha pasti lebih mengerti.
            “Jangan diam aje Liah, aku kenal kau lebih dari Azmeer mengenali kau. Kau pasti punya alasan,” desak Zulaikha sambil memegang erat jari jemari Aliah. Serentak itu Aliah berpaling ke tepi dan pandangannya di lontarkan ke sebuah kolam kecil milik ibunya. Beberapa ekor ikan emas yang sedang asyik berenang kehulu hilir begitu menarik pandangan Aliah. Agaknya begitulah keadaan dirinya pada saat itu. Tiada arah yang sesuai untuk dirinya berlayar dan dia bimbang jika dirinya tersesat semula dan sukar untuk dirinya berpatah balik.
            “Aliah...” Zulaikha memanggil. Aliah masih membisu. Hanya deru angin yang bertiup  kedengaran di cuping telinga. Zulaikha jadi hampa. Hatinya terkilan sedikit dengan sikap Aliah yang begitu dingin terhadapnya. Sebelum ini pun, Aliah jarang bersikap demikian. Andai Aliah mempunyai sebarang masalah, pasti dialah tempat untuk Aliah meluahkan segala masalah.
            “Kau tak perlu bimbang Zu, aku boleh terima semua ni. Kau baliklah.” Ujar Aliah tiba-tiba sambil tersenyum tawar. Senyuman yang dibuat-buat! Sebenarnya Aliah belum bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa pun terutama Zulaikha dan Aliah hanya ingin bersendirian.
            Zulaikha menghembuskan nafas kecil. Dia jadi mati akal melihat sikap Aliah yang acuh tidak acuh itu. Terbejat segala idea-idea yang ada untuk memujuk hati Aliah. Biasanya Aliah bukanlah seorang yang begitu keras hati. Cuma kali ini, dia bagaikan telah nekad. Dan keputusannya adalah muktamad. Zulaikha memandang wajah Aliah. Pelik. Aliah seperti tidak mahu bertentang mata dengannya. Seperti ada perkara yang Aliah tidak senang dengannya.
            “Kau pulanglah dulu Zu. Aku nak bersendirian sekejap,” pinta Aliah lalu bangun. Aliah berjalan terus menuju ke pintu utama tanpa menoleh kebelakang. Dia sudah tidak mempu menahan sebak di hati kerana Aliah bimbang dia akan menangis di hadapan Zulaikha. Dia tidak mahu melihat Zulaikha melihatnya menangis. Dia mesti tabah di hadapan Zulaikha! Tetapi ketabahan itu hanya senipis kulit bawang. Air mata Aliah tetap jatuh saat Aliah melangkah jauh ke dalam rumah. Perlahan-lahan membasahi pipi gebunya. Teresak-esak Aliah menahan sendu di hati yang kiah hebat melanda jiwanya.
            Zulaikha terpana seketika melihat kelakuan Aliah yang begitu pelik. Kelakuan peliknya begitu merunsingkan fikirannya pada ketika itu. Seperti ada yang tidak kena. Seperti Aliah sedang menjauhkan dirinya. Tetapi mengapa?
            Jangan-jangan... Oh Tuhan!
            Tatkala itu bagai ada getaran yang mengegar seluruh hatinya. Zulaikha jadi takut jika telahannya benar dan dia tidak pasti bagaimana harus dia menyelesaikan semua itu. Dan... dia bimbang akan suatu perkara. Adakah dia kan kehilangan Aliah. Sahabat yang paling dikasihaninya. Mata Zulaikha mula berkaca. Mindanya gagal memandang ke masa hadapan. Apa yang berlegar di fikirannya padaketika itu adalah dia mungkin akan kehilangan Aliah. Dia tak mahu perkara itu berlaku.
            ‘Maafkan aku Liah..’ keluh Zulaikha. Dia tahu segalanya telah terlambat dan dia memang bersalah pada Aliah. Tak mungkin dia mampu untuk berpatah balik untuk membetulkan keadaan. Hati Aliah keras. Keputusan yang Aliah putuskan adalah keputusan muktamad. Zulaikha merenung ke lantai bumi yang serba hijau. Barulah dia mengerti mengapa Aliah bertindak begitu kepada dirinya. Wajar tak wajar itu tak penting kerana yang bersalah adalah dirinya. Kalaulah dia tidak mengikut kata hatinya, pasti perkara begini tidak akan terjadi.
            Dengan perasaan sesal Zulaikha mengatur langkah menuju ke garaj kereta. Sebelum masuk ke dalam kereta sempat Zulaikha memandang seketika ke arah pintu utama. Walaupun tiada sesiapa di situ namun terbayang jelas di mata Zulaikha wajah ceria Aliah yang sedang melambai dengan mesra. Namun saat itu segalanya tiada. Saat itu menjadi sepi. Hanya sesalan di hatinya yang mengiringi kepulangannya. Kerata Zulaikha keluar dari kawasan itu dengan perlahan. Tanpa di sedari Zulaikha, Aliah hanya memandang sepi sewaktu kereta Zulaikha pergi. Sekali lagi air mata Aliah jatuh menyelusuri pipinya.
            ‘Kenapa kau buat aku begini Zu?’ hati kecil Aliah berbisik hiba. Sungguh perit kenyataan yang terpaksa diterima tetapi itulah yang terpaksa diterimanya. Yang terpaksa ditelan walaupun pahit.


                                    #          #          #          #          #          #
            Sudah lebih seminggu Aliah hanya terperap di dalam biliknya. Sengaja dia mengasingkan dirinya daripada kehidupan luar. Apa yang terjadi pada esok lusa, Tuhan sahajalah yang mengetahuinya. Namun, sebolehnya Aliah mengharapkan cahaya baru dalam hidupnya. Dia tidak boleh selamanya begini. Sudah takdir Tuhan, siapalah dirinya untuk menidakkan segala hal yang berlaku. Aliah tahu hatinya amat menyintai Azmeer. Lebih dari segalanya dan Aliah juga sedar, setiap perkara yang di inginkan oleh manusia tidak semestinya akan dimakbulkan oleh Tuhan. Begitu jugalah dengan permintaan hatinya. Sekalipun Aliah sedar dirinya tidak mampu memiliki Azmeer tetapi pada hatinya, Aliah masih mampu untuk menyintai Azmeer. Biarlah seberapa dalam mana hatinya untuk menyintai Azmeer, Aliah tak kisah kerana itu adalah haknya. Tak perlu Azmeer tahu semua itu asalkan Aliah sedar akan hakikat itu. Dengan cara itu, Aliah yakin dia akan bahagia walaupun bukan sepenuhnya.
            Aliah menoleh ke tepi katil. Bingkai gambar yang dihiasi bunga-bunga kecil itu di bawa kepangkuannya. Bibir Aliah terukir satu senyuman. Manis tetapi ada sendu di sebalik senyuman itu. Aliah berusaha menjadi lebih tabah. Sehabis baik Aliah berusaha memberikan suatu senyuman yang penuh dengan kegembiraan.
            “Abang... sampai kesaat ini, hati Liah tetap menyintai abang sepenuh hati Liah. Aliah rindukan abang dan rindu ini begitu menyeksakan Liah bang,” ujar Aliah dengan nada yang perlahan. Serak-serak basah suara Aliah menuturkan kata-kata itu. Sedaya upaya Aliah menahan dirinya agar tidak menangis. Dia letih menangis...
            Kadang-kadang Aliah merasa rimas kerana dirinya terlalu meratapi perpisahan itu, sedangkan pada mulanya Aliah redha dengan apa yang berlaku. Tetapi setelah beberapa hari berlalu, Aliah mula sedar yang dirinya cukup lemah dalam menghadapi dugaan itu. Dia sendiri tidak pasti sama ada dirinya tabah. Barangkali dia akan tersungkur kerana dia gagal untuk berhadapan dengan kenyataan. Mungkin hatinya belum bersedia. Bukan mudah untuk membuang cinta itu kerana pada Aliah cinta itu telah sebati dalam dirinya.
            Daun pintunya diketuk. Aliah tahu Mamanya yang mengetuk. Seperti kebiasaannya.
            “Masuklah mama.” Ujar Aliah. Segera Aliah meletakkan kembali bingkai gambar yang dipegangnya. Perlahan-lahan Aliah menarik nafas dalam-dalam. Dia perlu kelihatan tenang dihadapan mama. Wajah mama muncul dihadapan pintu dengan senyuman manis di bibir. Aliah membalas dengan senyuman yang dibuat-buat! Huh..
            “Anak mama ni dah berapa hari tak keluar dari bilik.” Ujar mama lalu melabuhkan punggungnya di hujung katil. Aliah pantas bersila untuk memberikan ruang lebih buat mama.
            “Aliah malas nak keluar mama,” jawab Aliah ringkas.
            “Mama faham, cuma mama tak faham kenapa Liah harus bersedih. Mama harap Liah tak menyesal dengan tindakan Liah sendiri. Bagi mama setiap yang berlaku itu, pasti ada alasan yang tersendiri. Nasihat mama, jangan lari daripada masalah. Selesaikan, kerana penyelesaian itu lebih baik daripada kita berdiam diri. Aliah faham?” terang mama dengan penuh semangat. Mama seperti tahu angin gelora yang sedang melanda hatinya pada ketika itu. Walaupun mama tak pernah tahu apa sebenarnya yang terjadi tetapi mama tahu puncanya. Cuma Aliah tak nak mama tahu punca sebenar dirinya memutuskan pertunangannya. Itu rahsia besar dirinya.
            Aliah terdiam seketika. Matanya dibuang jauh keluar jendela yang terbuka luas. Dan pandangan itu memberikan sedikit ruang untuk Aliah menilai semula kata-kata nasihat mama. Walaupun tidak sejelas mana tetapi Aliah mengerti suatu perkara. Masa untuk dirinya berkabung telah pun tamat tempoh. Dia perlu selesaikan masalahnya dengan caranya yang tersendiri. Wajah mama direnung dengan penuh makna.
            Thank’s mama.” Pantas Aliah memeluk tubuh mama dengan erat. Terasa bagai ada suatu ketenangan yang meresap di jiwanya. Saat itu Aliah merasakan dirinya bebas di udara. Tanpa kemelut jiwa yang membelengu dirinya dan setelah berhari-hari berlalu Aliah merasakan dia tak akan menyesal dengan tindakan yang diambil. Dugaan itu datang dan juga pergi. Seperti mana dugaan itu datang, seperti itulah dia merasakan ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa dirinya.
            “Jangan takut Liah, mama sentiasa akan menyokong Liah.” Pelukan mama semakin erat. Tanpa disedari air mata milik Aliah mengalir buat sekian kalinya. Pada saat itu, wajah Zulaikha muncul di matanya. Zulaikha layak untuk memiliki Azmeer. Cinta itu memang milik Zulaikha sejak dari mula lagi. Biarpun perit untuk di akui tetapi kebahagian mereka juga adalah kebahagian untuk dirinya.
            “Aliah faham mama.”
                                    #          #          #          #          #          #
            Pagi itu indah. Aliah melangkah dengan penuh yakin walaupun hatinya masih belum bersedia. Dari jauh Aliah melihat wajah Azmeer. Wahai hati, tabahlah engkau disana. Keluh Aliah.
            “Assalamualaikum,” sapa Aliah apabila dirinya berada dihadapan Azmeer.
            “Wa’laikumsalam, duduklah Liah.”
            Aliah duduk dan matanya di arahkan ke tempat lain. Betapa sukar bagi dirinya untuk bertentang mata dengan Azmeer. Dia belum mampu untuk itu.
            “Terima kasih kerana abang sudi jumpa Liah. Liah datang bukan untuk berbicara panjang lebar tetapi Liah datang untuk menyampaikan hasrat hati Liah. Liah sendiri tak pasti samada hasrat itu datang dari hati nurani Liah atau tidak, tetapi Liah yakin Liah pasti akan menerimanya suatu hari nanti.” Aliah memulakan bicara. Terang dan jelas percakapannya. Walaupun sedikit tegang tetapi Aliah berusaha untuk menjadikan semuanya lancar.
            “Abang tahu abang salah Liah, maafkan abang Liah.” Ujar Azmeer. Riak wajahnya sedikit suram. Langsung tidak ceria. Mungkin rasa bersalah masih menebal dihatinya. Duga Aliah. Aliah hanya tersenyum tawar. Tiada apa yang harus dipersalahkan lagi. Perkara itu sudah pun terjadi. Hendak disesali pun, perkara itu tetap benar. Kalau cinta boleh menipu mata dan hati tetapi hati yang merasa tidak akan pernah sekali-kali menipu diri sendiri. Melihat pada keadaan dirinya, Aliah sedar cinta itu masih ada tetapi dia harus membuktikan pada Azmeer bahawa cinta itu telah pergi dari hatinya.
            “Tak apalah abang, kita dah tak ada jodoh, nak buat macam mana. Aliah nak di hari dimana perkahwinan kita ditetapkan, abang dan Zu akan disatukan. Pada pelamin yang sama. Aliah nak apa yang kita rancang sebelum ni berjalan seperti yang kita rancangkan. Walaupun bukan Liah pengantin perempuannya, Aliah dah cukup bahagia jika abang dan Zu bahagia,” tutur Aliah ikhlas. Sedikit senyuman dilemparkan kepada Azmeer. Rasa hatinya dibenamkan jauh-jauh ke dasar hati. Biar apa yang ada di hatinya tidak akan terpamer di wajah. Segalanya tersembunyi disebalik sebuah senyuman.
            Berbeza pada Azmeer. Kata-kata yang keluar dari mulut Aliah benar-benar membuatkan dirinya seperti cacing kepanasan. Azmeer keliru pada kehendak hati Aliah. Hasrat Aliah seperti menyeksa hati Aliah sendiri. Dia kenal benar hati Aliah.
            “Abang tak minta semua itu Liah.”
            Saat itu, Aliah memberanikan dirinya bertentang mata dengan Azmeer. Bergetar dadanya saat matanya bertemu dengan sepasang mata milik Azmeer. Seperti cinta itu masih seperti dulu.
            “Terimalah bang, Aliah ikhlas. Zulaikha tu, sahabat karib Liah sejak Liah kecil, apa yang terbaik buat Zu, itulah yang terbaik buat diri Liah. Abang terimalah hasrat hati Liah ni ya bang,” pinta Aliah sungguh-sungguh. Berharap benar Aliah agar Azmeer setuju dengan hasrat hatinya. Walaupun hatinya terguris tetapi demi kasih ini Aliah merelakan semuanya dengan ikhlas.
            “Terima kasih Aliah kerana mengizinkan semuanya.” Pendek ucapan Azmeer namun cukup membuatkan Aliah mengerti akan suatu perkara. Pengorbanan.
            “Aliah minta diri dulu, assalamualiakum.” Ujar Aliah lalu beredar. Sebelum pergi sempat Aliah memberikan suatu senyuman yang penuh bermakna untuk Azmeer. Tawar lirikan senyuman Azmeer saat dia membalas senyuman Aliah. Dia sayangkan Aliah tetapi entah mengapa sayang itu tidak sehebat sayang yang ada untuk Zulaikha. Sebelum ini sedaya upaya dia menyembunyikan hubungan antaranya dan Zulaikha tetapi ternyata naluri Aliah lebih kuat menghidu segalanya.
            Azmeer membuang keluhan di dadanya. Azmeer sukar mengerti mengapa hatinya  tidak mampu menyintai Aliah dengan setulus hatinya. Sedang dia mengerti bahawa Aliah adalah wanita yang cukup sempurna dalam segala-galanya tetapi hatinya tetap menyintai Zulaikha. Oh hati...

                                    #          #          #          #          #          #
            Sebulan berlalu tanpa disedari. Persiapan pernikahan Zulaikha dan Azmeer berjalan dengan lancar. Apa yang pelik, Aliah adalah perancang utama. Dia yang mengatur segalanya. Aliah bagaikan sudah lupa siapa Azmeer di hatinya. Apa yang Aliah tahu dia melakukan semuanya demi Zulaikha.
            “Liah...” panggil Zulaikha ketika Aliah sibuk menyemak nama dalam kad jemputan. Aliah hanya memandang sekilas ke wajah Zulaikha. Sudahnya Aliah menyambung kerjanya semula. Zulaikha berjalan menghampiri Aliah. Lantas tangannya memegang erat jari jemari Aliah yang sedang sibuk menulis. Aliah berhenti seketika daripada kerjanya. Anak mata Zulaikha ditenung dalam-dalam. Bagaikan ada suatu perasaan sayu dalam mata Zulaikha. Duga Aliah. Aliah sedar apa yang sedang dia lakukan mungkin sukar diterima oleh Zulaikha tetapi apa yang sedang dia lakukan adalah berdasarkan keikhlasan.
            “Jangan macam ni Zu.”
            Zulaikha duduk di sebelah kerusi Aliah.
            “Kau sedar apayang sedang kau lakukan?” soal Zulaikha. Nadanya serius.
            “Aku sedar Zu, dan aku tak nak kerana aku, kau lepaskan apa yang kau inginkan.”
            “Tapi bagaimana dengan hati kau?”
            Aliah tersenyum manis. “Aku ok Zu, kau jangan risau. Aku redha jika ini ketentuanNya,” tutur Aliah. Anak mata Zulaikha mula bergenang dengan manik-manik jernih yang sedari tadi cuba ditahan-tahan. Namun pengorbanan Aliah untuk dirinya terlalu besar dan Zulaikha sendiri tidak pasti bagaimana harus dia membalas segala jasa baik Aliah.
            “Aku minta maaf Liah.”
            “Dahlah, janganlah kau sedih-sedih lagi. Cinta bukan suatu perkara yang boleh dipaksa Zu.”
            “Terima kasih kerana kau terlalu memahami aku Liah.” Ujar Zulaikha. Walaupun Zulaikha sukar memahami apa yang sebenar ada dalam hati Aliah namun perasaan bersalah itu tetap ada. Apa yang terjadi bukanlah kehendak dirinya. Dia sanggup berkorban demi Aliah tetapi entah mengapa keadaan itu berubah di saat akhir. Maafkan aku Liah...
            “Aku tahu perkara ni sejak dari mula Zu,” akhirnya Aliah mengaku. Bulat mata Zulaikha memandang wajah Aliah yang begitu tenang.
            “Aku tak bermaksud untuk menipu kau Liah,” jelas Zulaikha. Perasaan bersalah semakin menebal dalam jiwanya. Entah bagaimana Aliah boleh maafkan dirinya dengan begitu mudah. Zulaikha tahu Aliah sengaja beralah demi dirinya. Zulaikha juga tahu betapa dalamnya cinta Aliah pada Azmeer. Hmm... kejamnya aku pada Aliah! Keluh Zulaikha.
            “Kau jaga dia dengan baik ya Zu.” Pesan Aliah. Erat jarinya mengenggam jari jemari Zulaikha. Zulaikha mengangguk tanda mengerti. Anak mata mereka bertaut. Aliah tersenyum mesra bagaikan tiada duka di hatinya. Seolah-olah jiwanya bebas dari penderitaan cinta yang tidak kesampaian. Dalam diam air mata Zulaikha menitis. Namun segera diseka agar tidak kelihatan di mata Aliah. Andai masa itu mampu diundur, dia pasti tidak akan membenarkan hatinya menyintai Azmeer. Biarlah bahagia itu milik Aliah.
            “Aku ada hal sekejap, malam nanti kita jumpa lagi OK,” ujar Aliah lalu meletakkan pen di atas meja. Kad-kad yang telah disemak diletak kemas-kemas dalam sebuah bakul.
            “Mama, Liah keluar kejap ya mama. Ada hal penting.” Jerit Aliah. Terkocoh-kocoh orang tua itu keluar dari dapur sambil di tangannya memegang senduk.
            “Liah tak nak makan dulu?” Mama menyoal. Aliah hanya mengeleng. Selepas bersalam dengan mama, Aliah meminta diri. Sampai dalam perut kereta air mata Aliah menitis deras. Segera enjin kereta dihidupkan. Aliah sendiri tidak tahu kemana arah tujuannya, yang penting dia perlu bersendirian pada ketika itu. Hatinya belum cukup kuat untuk berterusan berhadapan dengan Zulaikha. Ahh... kau hipokrit Liah! Hati Aliah menjerit. Sayangnya suara itu tenggelam jauh kelubuk hatinya. Air mata diseka laju. Namun semakin cuba ditahan semakin laju air matanya menitis. Aliah menekan kuat pedal minyak. Saat itu, bagaikan ada sesuatu yang datang dari hadapan lalu menghentak kuat ke arahnya. Kalimah Maha Suci Yang Esa meluncur laju dari bibirnya. Pandangan yang sedari tadi terang tiba-tiba gelap. Gelap tanpa cahaya.
                                    #          #          #          #          #          #

            Angin bertiup lembut. Bertaburan dedaunan kering menyembah ke lantai bumi. Menutupi tanah yang kebasahan. Sinaran mentari pagi membuatkan Zulaikha memandang sekilas kewajah langit yang membiru.
            “Yang pergi tetap pergi Zu,” ujar Azmeer lalu menyentuh bahu Zulaikha. Zulaikha menoleh. Wajahnya sedikit bengkak kerana terlalu kuat menangis.
            “Dia pergi terlalu awal, dia pergi ketika hatinya kecewa, dia pergi ketika impiannya musnah.” Bergetar suara Zulaikha menuturkan kata-kata itu. Air matanya menitis lagi.
            Azmeer memandang ke arah kubur yang ditutupi bunga-bunga segar. Saat itu, air mata Azmeer menitis. Wajah Aliah muncul di kotak mindanya.
            “Liah sayangkan abang lebih dari abang sayangkan Liah.” Kata-kata azimat itu bergema di cuping telinga Azmeer membuatkan dadanya semakin sebak. Perlahan-lahan Azmeer menyeka sisa air mata yang membasahi pipinya. Wajah sugul Zulaikha ditatap dengan pandangan yang sayu. Azmeer menarik nafas panjang. Selama ini, Azmeer merasakan Aliah dan Zulaikha bagaikan dua orang yang sama, mungkin kerana itu hatinya terpaut pada kedua-duanya. Pemergian Aliah membuatkan Azmeer sedar bahawa selain cinta masih ada ikatan kasih yang wujud antara mereka. Aliah kasihkan Zulaikha lebih dari seorang sahabat dan Aliah kasihkan dia lebih dari cinta. Dan kerana itulah Aliah sanggup berkorban...
            “Liah, maafkan abang.”
            Zulaikha menoleh kearah Azmeer. Biarpun suara itu halus namun cukup jelas kedengaran di cuping telinga Zulaikha. 

No comments:

Post a Comment