Menyampah!
Kenapa lelaki itu sentiasa menyusahkan hidup aku! Hati Suraya membentak. Panas
hatinya setiap kali melihat wajah yang selalu membuatkan hidupnya bermasalah.
Bagaikan suatu bala yang sentiasa mengekori setiap kali wajah itu muncul. Dan
hatinya tak akan tenteram selagi wajah itu masih terpacak di ruang matanya.
“Hei
awak yang salah tau, kalau awak tak sibuk sangat nak menolong mesti semua ini
tak akan terjadi!” laju kata-kata itu keluar dari mulut Suraya. Matanya tajam
memandang wajah itu.
“Dahlah
tak ada terima kasih, tak pasal-pasal kita pulak yang kena herdik. Eh
perempuan, awak tu orang baru kat sini, selok belok tempat ni awak langsung tak
tahu. Saya cuma memberi panduan, salah silap datang dari awak sendiri.”
Api yang
sedang membara makin menyala-nyala. Bergetar badan Suraya menahan api kemarahan
yang semakin memuncak di dada. Seluruh nafas ditarik dalam-dalam. Tanpa berkata
apa-apa, Suraya membelakangkan tubuhnya. Peluh yang mula memercik dikesat kasar
pada hujung lengan. Anak mata Suraya meliar ke sekeliling kawasan itu. Dari dia
sibuk bertekak dengan lelaki tak guna itu, lebih bagus dia fikir jalan keluar
dari hutan tebal. Hari pun hampir gelap.
“Awak
nak kemana?”
“Cari
jalan keluarlah,” Suraya menjawab kasar.
“Tak
payah.”
Suraya
menoleh. Wajah lelaki itu tenang. Suraya merenung tajam. Isyarat kepada tahap
kemarahannya yang makin meluap-luap.
“Dah tu
awak nak bermalam kat sini?” soal Suraya dengan nada yang agak tinggi. Hati
Suraya makin panas apabila lelaki itu hanya mengangguk. Memang lelaki itu
sengaja mengumpan dirinya jauh ke dalam hutan. Mungkin lelaki itu hendak
membalas dendam. Siapa tahu? Dari muka yang nampak baik macam tu, mungkin
hatinya jahat. Kemungkinan besar. Dakwa hati Suraya. Sekejap-sekejap matanya
menjeling ke arah lelaki itu. Jarak antara dirinya dengan lelaki itu agak jauh.
Sengaja Suraya menjarakkan dirinya. Bimbang. Dan yang paling penting adalah dia
harus berwaspada setiap masa.
“Esok
kita cari jalan keluar dari hutan ni.” Ujar lelaki itu tiba-tiba. Sekelompok
kayu diletakkan dihadapan Suraya.
“Nak
buat apa kayu ni?” soal Suraya.
“Makan.”
Suraya
menjeling. Apa dia fikir aku ni bodoh? Dengus hati kecil Suraya.
“Nah
ambil mancis ni, awak nyalakan unggun api. Reti tak reti awak kena buat. Saya
nak ke sungai.” Lelaki itu mengarah. Nadanya tegas. Matanya tajam. Mukanya
serius. Tanpa berkata apa-apa lagi lelaki itu terus menuju ke dalam semak dan
Suraya menarik nafas lega. Namun apabila terpandang selonggok kayu api yang
berada dihadapannya, Suraya menjadi gelisah. Dia sendiri tidak pasti apa yang
harus dia lakukan kerana dia tidak pernah melakukan perkara tersebut. Dengan
pantas Suraya mengambil mancis yang berada tidak jauh dari tempat duduknya.
“Memang
tak guna betul laki ni, apa pulak aku yang harus buat semua ni!” bebel Suraya
sendirian. Seketika dia matanya meliar ke sekeliling. Sunyi dan menyeramkan.
Bersendirian di dalam hutan tebal sebegini membuatkan bulu roma Suraya
tiba-tiba meremang. Pelbagai cerita yang pernah di dengarnya mula membuatkan
Suraya membayangkan perkara yang bukan-bukan. Peluh dingin mula memercik.
Secara tiba-tiba telinganya menangkap bunyi ranting kayu yang dipijak. Serta
merta mata Suraya terarah ke arah bunyi itu. Suraya menelan air liur, namun
dalam situasi seperti itu Suraya cuba menenangkan dirinya. Suraya melihat ke
sekelilingnya dengan harapan dia menemui benda yang tajam sebagai pelindungnya.
Namun hampa kerana yang ada ditepinya pada ketika itu adalah selonggok kayu
yang telah dipotong. Suraya menarik nafas dalam-dalam. Lelaki tak guna! Berani
dia biarkan aku sendirian tanpa apa-apa alat untuk perlindungan diri! Sekali
lagi benak Suraya menyumpahi lelaki itu. Dalam keadaan yang serba panik, Suraya
mencapai sebatang kayu yang agak panjang. Digengamnya erat-erat batang kayu itu
dan dihala kehadapan. Lagaknya seperti pahlawan pedang semurai yang sedang
bersedia untuk berlawan.
Mata
Suraya begitu teliti memandang kearah semak. Setiap pergerakan segera dikawal dengan
langkah berhati-hati. Seperti dia sedang bersedia untuk menghadapi sebarang
malapetaka. Bunyi itu semakin hampir! Peluh dingin semakin membasahi dahi
Suraya. Kali ini Suraya benar-benar bersedia untuk berperang. Gerak kakinya di
atur dengan perlahan dan tanpa mengeluarkan bunyi. Dari dalam semak datang
seekor ayam hutan yang sedang leka mematuk tanah. Suraya menghembuskan nafas
lega. Ayam itu adalah makanan! Sedap jika dipanggang! Dengan langkah yang amat
perlahan Suraya menghampiri ayam itu. Kali ini Suraya bukan berjuang untuk
berperang, sebaliknya dia sedang berjuang untuk makan malam!
Tanpa
sengaja Suraya terpijak daun kering, dan dengan pantas ayam itu berlari ke
sebatang pohon di sebalik semak. Riak wajah Suraya hampa. Makan malamnya
terlepas. Dan perutnya terasa berkeroncong minta diisi. Laparnya... keluh
Suraya.
Suraya
kembali ketempatnya. Perkara yang harus dilakukannya adalah menyalakan unggun
api dan jika tidak lelaki itu akan mengamuk. Apabila lelaki itu sudah berada
dalam situasi mengamuk maka mulutnya akan tidak berhenti-henti membebel.
Betul-betul macam burung kakak tua!
Sekali
lagi Suraya menyumpah.....
Suraya
menarik nafas panjang. Selama ini dia langsung tidak pernah menyalakan unggun
api. Bagaimana untuk menyalakan api pada kayu pun dia tidak pernah apatah lagi
bila dicampak selonggok kayu dan sekotak mancis. Apa perkara pertama yang harus
dilakukan? Macam mana nak nyalakan api pada batang pokok yang besar ni? Suraya
mati akal.
Tanpa
berfikir panjang, Suraya menyusun batang kayu itu secara bertindih dalam bentuk
segitiga. Dan sebatang mancis dinyalakan lalu dicampak kebawah kayu-kayu yang
ditindih itu. Api pada mancis itu lantas padam! Suraya kaget. Mungkin haba pada
nyalaan api itu tidak cukup kuat membaham batang-batang kayu. Mata Suraya
mencari sesuatu yang mudah dibakar atau pemangkin untuk membuatkan kayu itu
terbakar. Ditengah-tengah hutan macam ni mana ada tong minyak gasolin! Bibir
Suraya mencebik. Dia mendongak kelangit. Terang mentari makin kelam. Dalam
beberapa ketika malam akan menjengah. Kalau tidak ada cahaya maka dia akan
bergelap. Dan apabila gelap dia pasti akan terdedah kepada bahaya. Oh tidak!
Mata Suraya meliar. Dia harus segera menyalakan unggun api. Suraya terpandang
dedaun kering. Mungkin itu mampu membantu dirinya untuk menyalakan unggun api.
Suraya mengumpul dedaun kering dan di atas longgokan dedaun kering itu
diletaknya beberapa batang kayu. Suraya menyalakan 4 batang mancis dengan
serentak lalu diletakan di atas dedaunan kering itu. Api menyala dengan marak
lalu membakar batang kayu itu. Suraya tersenyum lebar.
“Yang
awak tersenyum tu kenapa?” suara itu menyapa. Dan suara itu milik lelaki itu.
Suraya hanya menelan air liur. Matanya hanya fokus kepada unggun api yang baru
sahaja hendak menyala. Sikit pun dia tidak berpaling kepada lelaki itu. Hatinya
benci menatap wajah lelaki itu. Meluat!
“Sana ada
sungai, awak nak mandi ke, nak basuh muka ke, nak berendam ke, awak pergilah,
tapi jangan lama. Hari dah nak gelap, nak cari jalan pulang susah.” Lelaki itu
bersuara lagi. Suraya menoleh sekilas. Tanpa berkata apa-apa Suraya pergi menuju
kearah yang dimaksudkan.
‘Bodohlah laki ni,
berani dia suruh aku pergi sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa kat aku, tak ke
aku yang susah. Kalau tak ingat badan aku ni dah melekit-lekit macam gam,
memang aku tak ingin sorang-sorang ke sungai.’ Hati kecil Suraya membebel lagi.
Dihujung ranting beburung kecil ligat mencari tempat untuk berehat kerana senja
makin menghampiri. Dan sekawan tupai bergerak-gerak dari dahan pokok kedahan
pokok yang lain. Sesekali mereka tersentak apabila mendengar Suraya membebel
sendirian.
# # # # # # # #
Sebuah pondok telah
terdiri dengan begitu megah namun tidaklah begitu sempurna, Cuma cukup untuk
satu malam. Agak Suraya. Lelaki itu duduk dihadapan unggun api sambil memegang
sesuatu. Suraya mengamati dalam diam. Makanan! Perutnya dari tadi asyik
berkeroncong minta diisi terasa begitu tidak keruan apabila aroma sedap menusuk
ke deria baunya. Namun Suraya berlagak selamba. Akhirnya dia mengambil
keputusan untuk duduk jauh dari lelaki itu. Tanpa berkata apa-apa Suraya
membatukan diri sambil matanya melihat seekor ikan besar sedang dipanggang dan
seekor ayam hutan yang hampir masak. Suraya mengagak ayam hutan yang dipanggang
oleh lelaki itu, adalah ayam hutan yang cuba ditangkapnya petang tadi. Hebat
juga lelaki itu dapat tangkap ayam hutan yang hiperaktif tu. Perut Suraya
berbunyi dan perutnya memang lapar dan itulah kebenarannya.
“Berani awak duduk
di situ. Tak takut?”
Suraya mendonggak.
Wajah lelaki itu ditatap dengan tajam.
“Habis tu nak duduk
mana?” soal Suraya dingin. Serentak itu, matanya memandang ke sekeliling.
Mentari dah terbenam. Suara unggas pula begitu menyeramkan. Rupa pokok pula
seperti gergasi patung apabila dipancar cahaya suram. Keadaan itu sedikit
sebanyak membuatkan bulu roma Suraya meremang. Mata Suraya kembali menatap
wajah lelaki itu. Wajah itu tenang dan selamba. Dia seperti sudah biasa dengan
keadaan sebegini. Agaknya dia selalu sesat kat hutan kot. Suraya bermonolog
sendirian.
“Awak duduk dalam
pondok, malam ni awak tidur dalam pondok tu, doalah hari ni tak hujan. Esok
kita cari jalan pulang. Tak payah susah hati, tempat ni saya dah lindungi,
nampak garisan putih tu?”
Suraya mengangguk.
Memang dari tadi dia perasan akan garisan putih yang seakan-akan memagari
tempat rehat mereka. Namun Suraya malas hendak menanya. Rupa-rupanya ada makna.
“Jangan awak pijak
dan keluar dari garisan tu, kalau ada apa-apa kejutkan saya.” Lelaki itu
memberi arahan. Suraya pula seperti disihir kerana sentiasa mengangguk. Tidak
seperti petang tadi, mulutnya lancang melawan kata lelaki itu. Dalam hati,
Suraya tertanya-tanya kenapa garisan putih itu tidak boleh dipijak. Namun
soalan itu terbenam jauh ke dalam hati. Bukan segan untuk bertanya, tetapi
takut untuk mengetahui hal-hal yang tidak sepatutnya. Jadi untuk mengelakkan
perasaan takut itu bermaharajalela di dalam diri, Suraya hanya memandang ke
arah makanan yang dipanggang oleh lelaki itu. Sedikit sebanyak dia akan
melupakan di mana dia berada pada ketika itu.
“Awak nak ikan atau
ayam?”
Suraya diam
sejenak. Kalau ikutkan hati, dia nak kedua-dua sekali. Tetapi soalan lelaki itu
seperti memberi pilihan.
“Ikan atau ayam?”
Suraya menyoal seperti orang bodoh. Lelaki itu mengangguk.
“Setengah ikan,
setengah ayam. Boleh tak?”
Kening lelaki itu
berkerut. Dan sulung kali Suraya melihat lelaki itu mengukir senyuman. Dalam
hati Suraya merasa tenang melihat wajah itu tersenyum.
‘Pandai pun senyum,
ingatkan kau tu dah buta hati,’
“Boleh, saya tahu
awak lapar. Lagipun sepanjang hari awak tak makan, asyik makan coklat saja.
Ambil air mineral ni, cuci tangan sebelum makan,” pesan lelaki itu. Suraya
terkedu. Prihatin juga lelaki skema ni. Suraya melirik senyum simpul sebagai
tanda terima kasih. Mahu mengucapkan dia berasa agak malu. Nampak sangat
seperti dia akan berbaik-baik dengan lelaki itu. Suraya mencuci tangan dengan
air mineral yang diberi. Dengan lafaz Bismillah, Suraya mencubit isi ikan yang
di sendiri tidak tahu ikan apa lalu menyuap ke dalam mulut. Sedap tapi seperti
ada kekurangan.
“Tak ada garam
awak, sebab tu rasa ikan tu macam tu.” Lelaki itu memberi penjelasan. Dia
seperti tahu apa yang ada dalam fikiran Suraya pada ketika itu. Suraya hanya
diam dan terus makan. Perutnya kosong. Dan dia benar-benar lapar. Beberapa
minit berlalu, Suraya meneguk baki air mineral yang ada dalam botol. Perutnya
kenyang.
“Ayam ni ayam
hutankan? Petang tadi saya cuba tangkap, tapi terlepas,” ujar Suraya. Lelaki
itu tersenyum. Sambil mengemas tampat unggun api lelaki itu membersihkan
tangannya dengan mengunakan air yang agak coklat sedikit. Mungkin air sungai
yang diambilnya petang tadi. Suraya jadi hairan. Air basuh tangannya, air
mineral, tetapi lelaki itu hanya mengunakan air sungai. Suraya memandang wajah
lelaki itu dalam diam. Dalam dia tidak sedar, rupa-rupanya lelaki itu baik
dengannya. Selama ini dia selalu menyumpah lelaki itu kerana setiap kali lelaki
itu muncul dihadapannya pasti ada perkara yang buruk akan berlaku. Suraya
memandang kedalam pondok. Ada gebar disitu dan Suraya tahu gebar itu adalah
milik lelaki itu. Begnya dah terlepas kedalam sungai petang tadi kerana
terjatuh dan lelaki itu yang menyelamatkannya daripada lemas. Oleh kerana itu,
peta dan kompas turut hilang di hanyut kedalam sungai dan membuat dia dan
lelaki itu hilang arah. Namun begitu dia tetap memarahi lelaki itu kerana
melepaskan beg galasnya.
“Awak fikir apa?”
lelaki itu menyoal. Mungkin kerana dia melihat Suraya hanya diam membisu tanpa
berkata apa-apa.
“Em... tak ada
apa,” sahut Suraya.
“Esok kita pasti
dapat keluar dari hutan ni. Insyaallah.”
“Pasti?”
“Iya saya pasti.”
“Awak dah biasa kat
hutan ke?” soal Suraya. Perkataan pasti sedikit sebanyak membuatkan hatinya
lega sedikit. Kali ini satu-satunya harapan yang tinggal adalah dengan berharap
dengan lelaki itu.
“Saya biasa masuk
hutan, Cuma hutan ni agak tebal dan saya belum biasa. Kalau kita teruskan
perjalanan petang tadi, kita pasti akan
jauh dari sungai. Sebab tu saya berhenti kat sini saja.
“Kenapa suka masuk
hutan?” Suraya menyoal lagi. Matanya terus memandang kearah wajah lelaki itu,
seperti sinar kebencian yang meluap-luap sebelum ini, telah hilang dari
hatinya.
“Hati saya rasa
damai, jiwa saya rasa tenang.”
Suraya tercengang
mendengar penjelasan lelaki itu, dia kemudiannya diam lalu mengamati suasana
sekeliling. Sunyi tetapi meriah. Bunyi penghuni rimba yang bersahutan
menbuatkan hatinya jadi tenang. Kalau di ibu kota, perkata sunyi itu adalah
senyap dari segala-galanya. Tetapi didalam hutan ini, kesunyiannya amat indah. Dan
keindahan itu dapat dirasa dihujung hati. Mungkin inilah yang dinamakan dengan
ketenangan.
“Kenapa awak benci
dengan saya?” lelaki itu menyoal. Nadanya mendatar dan wajahnya seperti terlalu
ingin tahu. Suraya menarik nafas dalam-dalam.
“Betul awak nak
tahu?” Suraya melontar soalan kepastian. Lelaki itu hanya tersenyum tanda dia
benar-benar ingin tahu.
“Awak keras macam
tiang, hati macam patung, muka garang macam singa. Setiap kali awak muncul
depan saya, mesti ada sahaja yang tak kena, contohnya ekspedisi kali ni, entah
kenapa Prof gandingkan saya dengan awak. Tengok apa dah jadi, selama ni tak
pernah jadi macam ni tau.” Terang Suraya tanpa berselindung. Kening lelaki itu
berkerut dan akhirnya lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Suraya jadi blur.
Hairan. Gila dah kot laki ni, cemuh Suraya dalam hati. Seketika, ketawa lelaki
itu terhenti. Dia memandang wajah Suraya.
“Macam-macamlah
awak ni,” ujar lelaki itu dengan nada yang rendah.
“Dah memang betul
pun,” sahut Suraya.
“Jangan nilaikan
orang melalui luaran, pasal Prof tu, nanti kita tanya kenapa dia letakkan saya
dalam kumpulan awak. Lagipun kita sesat kerana awak yang beria-ia benar nak
cuci muka disungai. Sudahlah awak tak beritahu kawan awak yang awak nak
berhenti sekejap, mujur saya perasan yang awak tak ada, kalau saya tak perasan
macam mana? Mesti awak sorang-sorang malam ni kan.” Ulas lelaki itu panjang
lebar. Suraya tergaman. Ledahnya jadi kelu untuk terus melawan. Apa yang
didengarinya itu adalah benar, takkan dia nak putar belitkan kenyataan. Suraya
mengeluh. Tanpa berkata apa-apa, dia masuk kedalam pondok. Daripada dia
tercanguk berdepan dengan lelaki itu, ada baiknya dia pejamkan mata dan
rehatkan badannya yang keletihan.
Perlahan-lahan
Suraya merebahkan badannya keatas gebar. Terasa selesa sedikit urat-urat
sendinya apabila dapat baring ditempat yang agak selesa. Suraya memejamkan
matanya. Selepas seketika, mata Suraya
terbuka luas.
“Awak tidur kat
mana malam ni?” soal Suraya tiba-tiba.
“Kat sini, jangan
risau. Saya tak akan buat perkara yang tak sepatutnya. Awak tidurlah. Selamat
malam Suraya.”
Suraya tersenyum.
Dalam diam dia mula merasakan lelaki itu tidaklah seteruk mana pun. Lelaki itu
baik kot. Suraya menarik nafas dalam-dalam. Dengan mata yang terpejam bibirnya
sempat berkata-kata. “ Selamat malam Imran.”
# # # # # # #
Keadaan kampus yang
agak bising membuatkan Suraya jadi bengang. Dia segera mencari tempat yang agak
sunyi sedikit. Kepalanya bingung kerana tugasan yang diberikan oleh Prof Harun
belum selesai sepenuhnya. Sebelum orang tua itu menagih daripadanya ada baiknya
dia selesaikan dahulu. Disudut tangga dihujung bangunan, Suraya melihat susuk
tubuh yang amat dikenalinya. Lelaki itu sedang khusyuk melayari internet,
mungkin sedang melayari ‘facebook’ agaknya. Tempat yang paling sesuai untuk
menyiapkan tugasan Prof Harun adalah tempat itu, tetapi malang tempat itu telah
dicuri oleh lelaki itu terlebih dahulu. Suraya berlalu dengan hati yang sebal.
Sebenarnya, semenjak kejadian dia dan lelaki itu sesat didalam hutan, satu
kampus heboh. Semuanya sibuk menceritakan dia bermalam dengan lelaki didalam
hutan. Memang jatuh saham dia sebagai seorang perempuan. Malangnya nasib.
“Suraya!” namanya
seperti dipanggil dan pemilik suara itu adalah....
“Emmm awak
rupanya.” Suraya memandang wajah Imran. Cadangnya tadi, dia ingin segera
berlalu dari situ, entah macam mana Imran boleh sedar yang dia berada disitu.
Silap dia juga, kalau sudah tahu Imran berada disitu, kenapa perlu
terjenguk-jenguk lagi. Hmm!
“Tugasan dah siap?”
soal Imran. Suraya menggelengkan kepalanya.
“Nak saya tolong?”
Imran menghulurkan bantuan. Suraya terpaku seketika. Apa dia sedang bermimpi
agaknya. Tak mungkinlah....
“Saya nak buktikan
pada awak yang saya bukan keras seperti tiang, saya juga punya perasaan dan
tidak seperti patung, dan saya mahu awak malihat wajah saya seperti Imran dan
bukan seperti singa.”
Suraya memandang
wajah Imran dengan senyuman yang meleret-leret. Kalau dulu, sentiasa angin
puting beliung menjengah saat melihat wajah lelaki itu namun, perasaan itu
berubah apabila dia mengenali lelaki itu dengan lebih dekat lagi. Kejadian
sesat dihutan bersama lelaki yang membawa gelaran singa, memberi hikmah yang
besar padanya. Tanpa pangalaman itu, dia pasti tidak akan sedar bahawa selama ini
dia silap menilai lelaki yang bernama Imran. Menilai sesorang bukanlah menilai
daripada luaran samata-mata. Sebaliknya perlu mengenali hati budinya terlebih
dahulu.
“Awak fikir apa?”
Imran menyoal. Suraya diam lalu memandang tepat ke wajah Imran. Wajah Imran
tenang seperti biasa. Melihat ketenangan yang dipamerkan membuatkan hati Suraya
menjadi sejuk. Sedingin salju di banjaran Himalaya.
“Maafkan saya dan
terima kasih kerana menjaga saya dengan baik semasa kita di hutan tempoh hari.”
Ujar Suraya dengan lembut. Imran tersenyum. Jauh disudut hatinya, dia merasa
amat bahagia. Satu-satunya gadis di dalam kampus yang dulunya cukup membenci
dirinya kini memahami dirinya sebenar. Itulah hikmah yang diturunkan oleh ALLAH. Dalam diam, Imran memanjat kesyukuran. Sekeras-keras
hati Suraya ada juga lembutnya.
“Sejuk hati saya
dengar suara lembut awak, tak adalah selama ni, memang tau nak menengking je.”
Ketawa Suraya
pecah. Apapun, dia gembira mengenali Imran dengan lebih mendalam. Lelaki itu
tidaklah seteruk mana. Suraya bermonolog lagi.
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment